Tiada syarikat berminat bangunkan semula Litar Batu Kawan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang sudah berusaha untuk membangunkan semula litar lumba motosikal di Stadium Batu Kawan namun tiada sambutan daripada mana-mana syarikat untuk mengusahakannya.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah membuka Request for Proposal (RFP) untuk projek tersebut yang diletakkan di bawah Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee pada tahun lalu namun tiada syarikat yang berminat.

Menurutnya, usaha itu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini apabila ada segelintir penunggang motosikal yang gemar menjadikan jalan raya sebagai litar untuk berlumba.

"Sebenarnya sebelum ini, memang kerajaan negeri ada mencadangkan untuk membangunkan semula litar motosikal di Stadium Batu Kawan sebagai lokasi peminat sukan motosikal untuk berlumba, malah RFP juga telah dibuka pada tahun lalu.

"Bagaimanapun, tiada syarikat yang berminat untuk menyertai RFP bagi projek berkenaan. Kemungkinan syarikat-syarikat ini melihat litar di situ tiada potensi untuk menganjurkan aktiviti tersebut.

"Cadangan tersebut dibuat adalah untuk mengelakkan kemalangan yang tragis seperti sebelum ini," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Rabu.

Sebelum ini, Pulau Pinang mengumumkan akan membina litar lumba di Batu Kawan bersebelahan Kompleks Stadium Negeri.

Lip Chee berkata, tanah berkeluasan 2.8 hektar antara stadium dan Sungai Jawi sudah dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk membina litar tersebut.

Menurut Lip Chee, tujuan kerajaan negeri membina litar tersebut adalah menyediakan suasana kondusif dalam mencari bakat sukan pemotoran baharu.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menasihati kepada semua ibu bapa agar memantau aktiviti anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti anak mereka, dan bukannya hanya mengharapkan pihak berkuasa semata-mata. Kita percaya, pihak polis sering mengambil tindakan penguatkuasaan untuk mengekang kegiatan lumba haram namun ia masih lagi berlaku.

"Oleh itu, masalah ini perlu tindakan bersama, bukannya hanya mengharapkan pihak berkuasa semata-mata. Selain itu, kempen kesedaran secara besar-besaran untuk memastikan anak muda mengetahui risiko berlumba," katanya.

Dalam kejadian awal pagi Ahad, lima maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.

Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.

Menurut kenyataan polis, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.