Dua pengedar dadah warga Myanmar ditahan di Rompin

Dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas susulan penahanan dua warga Myanmar di Kuala Rompin pada Sabtu.
Dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas susulan penahanan dua warga Myanmar di Kuala Rompin pada Sabtu.
A
A
A

ROMPIN - Polis menahan dua warga Myanmar termasuk seorang wanita bersama dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan seberat 533.24 gram di hadapan sebuah bank di Kuala Rompin di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, suspek berusia 36 dan 54 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis menemui dan merampas dadah heroin seberat 452.49 gram dan 107.75 gram syabu dengan anggaran nilai keseluruhan RM18,000.

"Susulan penahanan suspek itu, polis turut merampas kenderaan jenis Toyota Fortuner yang digunakan, sejumlah barangan kemas dan wang tunai RM1,087.

"Kedua-dua suspek ditahan dan direman selama tujuh hari hingga 23 Julai depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Mohd Azahari berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati kedua-duanya negatif dadah.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang petani dan dua nelayan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran air ketum.

Mohd Azahari berkata, kesemua suspek ditahan dalam serbuan Ops Tapis di belakang sebuah rumah di Kampung Garung, Sarang Tiong di sini pada Khamis lalu.

Bungkusan air ketum yang dirampas daripada tiga lelaki di Kampung Garung,Sarang Tiong, Rompin pada Khamis lalu.
Bungkusan air ketum yang dirampas daripada tiga lelaki di Kampung Garung,Sarang Tiong, Rompin pada Khamis lalu.

"Hasil pemeriksaan polis menemui dan merampas 88 bungkusan plastik berisi 44 liter air ketum.

"Suspek ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sehingga 18 Ogos depan sementara menunggu keputusan laporan kimia," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.