Kes penipuan dalam talian rekod RM5 juta kerugian di Kedah

Mohd Roze (kiri)
Mohd Roze (kiri)
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah merekodkan kerugian sebanyak RM5 juta membabitkan penipuan secara dalam talian bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 82 peratus dalam tempoh Januari hingga Jun 2022 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Mohd Roze berkata, golongan berpendidikan tinggi antara individu dikesan terpedaya dengan kes penipuan secara dalam talian.

"Jadi, dia (orang awam) boleh berhubung dengan polis supaya polis bagi pengesahan. Jangan terus percaya dengan scammers ini. Setahu saya, dia (scammer) sudah ada maklumat orang (individu) yang dia hendak hubungi. Dia akan selidik dahulu.

"Saya mohon masyarakat agar lebih berhati-hati memandangkan jumlah yang terlibat di Kedah tahun ini dari bulan Januari hingga Jun melibatkan kerugian sebanyak RM5 juta,yang mana ia satu peningkatan berbanding tahun lepas,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam Polis Diraja Malaysia (Awie Tour) Tahun 2022 di Aman Central pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar.

Kempen berkenaan turut menampilkan tetamu istimewa, pelakon dan penyanyi, Datuk Ahmad Azhar Osman atau lebih dikenali sebagai Awie serta pelawak dan penghibur versatil, Saipul Apek.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Awie pada Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam Polis Diraja Malaysia (Awie Tour) Tahun 2022 di Aman Central, di sini, pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Awie pada Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam Polis Diraja Malaysia (Awie Tour) Tahun 2022 di Aman Central, di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Roze menegaskan pihaknya sentiasa memantau dan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti Kempen Pencegahan Jenayah Anti Scam bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, pihaknya juga bimbang apabila ada mangsa scammer tidak membuat laporan polis lebih awal apabila mendapati mereka terperdaya.

"Ada mangsa yang tampil membuat laporan polis selepas mengalami kerugian puluhan hingga ratusan ribu ringgit.

"Jadi, kita melaksanakan program seperti ini supaya masyarakat lebih sedar dan tampil di peringkat awal,"katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Roze berkata, Kedah adalah negeri pertama bagi perlaksanaan jelajah kempen kesedaran 'Anti Scam' dengan fasa pertama bermula di utara semenanjung pada Selasa

Beliau berkata, kempen berkenaan diadakan bertujuan untuk terus memberi kesedaran bahaya dan melawan scammer kepada masyarakat memandangkan ramai yang telah terpedaya.

Mohd Roze mengingatkan masyarakat bahawa pihak polis tidak sekali-kali akan membuat panggilan kepada mana-mana individu sebaliknya mereka akan dipanggil ke balai polis.

Sementara itu, beliau memberitahu, Polis Kedah turut menerima laporan polis berhubung kes penipuan pakej haji melibatkan daerah Kota Setar dan Sungai Petani.

"Kertas siasatan sudah dibuka melibatkan tiga mangsa dengan nilai keseluruhan RM48,000. Ia ada kaitan dengan satu penipuan pakej haji kerana syarikat sama.

Sebelum musim haji habis, mangsa mendapati namanya tidak ada, baru dia tahu," katanya.