Tujuh lelaki ditahan kes bekas ahli perniagaan ditembak mati

Laporan Sinar Harian mengenai bekas ahli perniagaan maut ditembak dalam kejadian di Amarin Kiara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu. Gambar kecil: Azmi
Laporan Sinar Harian mengenai bekas ahli perniagaan maut ditembak dalam kejadian di Amarin Kiara, Kuala Lumpur pada 11 Julai lalu. Gambar kecil: Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai tujuh lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara di sini pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek berusia 27 hingga 43 tahun itu ditahan secara berasingan di Johor Bahru, Johor dan Ipoh, Perak pada Khamis dan Jumaat lalu.

"Seramai empat lelaki ditahan di hadapan sebuah restoran di Taman Nusa Bayu lskandar Putri, Johor Bahru, Johor pada jam 1.30 petang Khamis.

"Kita kemudian menahan tiga lelaki pada jam 3.45 pagi di Taman Pulai Jaya dan Bandar Baru Putra, Ipoh Perak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azmi berkata, pihaknya turut merampas enam buah telefon bimbit, sebuah kereta jenis Kia Optima K5 warna putih dan sebuah kereta Proton wira warna hijau.

"Motif kejadian masih dalam siasatan," ujarnya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati tiga daripada empat suspek itu mempunyai rekod berkaitan kes jenayah dan narkotik.

"Kesemua suspek telah direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Azmi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi bilik Gerakan Siasatan Jenayah di talian 03-21460685, pegawai penyiasat Asisten Superintendan Haljah Ajar di talian 019-6018267 dan Hotine Polis Kuala Lumpur 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 12 Julai lalu, media melaporkan bekas ahli perniagaan ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.09 tengah malam.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa selesai bermain mahjong dan keluar dari rumah terbabit menuju ke kereta jenis Toyota Vellfire miliknya yang diparkir di luar kawasan perumahan berkenaan.