MB Perak dakwa usaha melombong lantanid bermula sejak zaman PH

Howard Lee bangun menafikan terdapat kelulusan diberikan ketika zaman PH terhadap perlombongan lantanid di Hulu Perak. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Howard Lee bangun menafikan terdapat kelulusan diberikan ketika zaman PH terhadap perlombongan lantanid di Hulu Perak. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Usaha untuk memulakan perlombongan nadir bumi lantanid di daerah Hulu Perak yang mendapat bantahan pelbagai pihak bukanlah isu yang baharu sebaliknya didakwa bermula sejak zaman Pakatan Harapan (PH) mentadbir Perak.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Saarani berkata, perkara itu bermula apabila Datuk Dr Xavier Jayakumar yang merupakan Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli pada ketika itu bersama rombongan termasuk jabatan teknikal dari Perak telah ke China bagi melihat bagaimana bijih lantanid diekstrak di negara itu.

"Dengan keyakinan itulah, maka teknologi itu dibawa ke Perak dan diyakinkan bahawa ia adalah selamat kerana saya tengok dalam gambar itu, Dr Xavier dan rakan-rakan minum air daripada takungan hasil ekstrak bijih tersebut yang menunjukkan selamat bahawa ia bukan bahan radioaktif.

"Gambar satelit yang dikeluarkan itu merupakan kolam yang telah dibina jauh lebih awal dari sekarang, sebelum saya menjadi menteri besar lagi," katanya ketika menjawab soalan tambahan Mohd Tarmizi Idris (BN-Kenering) dan Salbiah Mohamed (BN-Temengor).

Beliau turut memberitahu bahawa pembinaan kolam tersebut dibuat terlebih dahulu sebelum prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan.

Bagaimanapun, Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) ketika mengemukakan soalan tambahan menafikan terdapat kelulusan diberikan ketika zaman PH bagi operasi melombong lantanid tersebut.

Dalam pada itu, Saarani menegaskan pendirian kerajaan negeri jelas untuk tidak akan benarkan projek itu dilangsungkan jika bahan tersebut adalah sumber radioaktif.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan mempertaruhkan keselamatan dan kesihatan nyawa manusia hanya semata-mata mahu mencari pendapatan baharu.

Sehingga kini katanya, tiada sebarang kelulusan dikeluarkan kepada mana-mana syarikat untuk melakukan perlombongan itu.

Pada bulan lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa kerajaan Perak menafikan sudah memberi 'lampu hijau' kepada aktiviti perlombongan mineral nadir bumi, lantanid di kawasan Gerik daerah Hulu Perak sepertimana didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerja-kerja melombong di kawasan itu belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.

Menurutnya, meksipun surat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) telah diperolehi, masih terdapat beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk mendapatkan kebenaran merancang.

Sebelum ini pada 2019, media turut melaporkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli menjelaskan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Perak dan sebuah syarikat China bertujuan mengenal pasti sumber nadir bumi di negeri itu, bukan untuk melombongnya.