Tiada sebarang syarat mansuh sistem pengambilan pekerja asing

Gambar hiasan - Foto 123rf
Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menegaskan tiada sebarang syarat untuk memansuhkan sistem sedia ada dalam pengambilan perkhidmatan domestik Indonesia.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menjelaskan, apa yang dinyatakan dalam memorandum persefahaman (MoU) adalah menggunakan sistem sedia ada di Indonesia untuk pengambilan pekerja asing.

“Tetapi ia tidak mensyaratkan untuk kita mansuhkan sistem sedia.

“Dalam mesyuarat semalam, kita telah adakan perbincangan dengan pihak Indonesia dan bersetuju untuk mengintegrasikan sistem yang kita ada dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan sistem yang dicadangkan oleh Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Loke Siew Fook (PH-Seremban) yang bertanyakan adakah benar salah satu syarat dalam MoU bagi pengambilan dan perlindungan perkhidmatan domestik Indonesia (PDI) di Malaysia ialah berkenaan dengan pemansuhan Sistem Maid Online (MOS).

Indonesia sebelum ini dilapor akan melaksanakan pembekuan sementara ke atas penghantaran semua pekerja ke Malaysia serta-merta berikutan pelanggaran syarat-syarat dalam MoU bagi pengambilan dan perlindungan PDI di Malaysia.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata, penggunaan berterusan Sistem MOS oleh Jabatan Imigresen Malaysia dalam pengambilan perkhidmatan domestik Indonesia merupakan pelanggaran MoU yang ditandatangani pada 1 April.

Saravanan bagaimanapun berkata, penangguhan sementara kemasukan warga Indonesia ke Malaysia adalah ekoran daripada kekeliruan yang timbul dalam mekanisme pengambilan PDI ke Malaysia.

Tambahnya, isu ini juga telah dibincangkan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia pada Isnin.

“Mesyuarat tersebut telah bersetuju supaya perbincangan segera diadakan oleh KSM, KDN dan Jabatan Imigresen Malaysia serta Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia bagi menyelesaikan permasalahan ini,” katanya.