Mohd Iskandar Dzulkarnain dilantik pemangku Presiden, CEO BDB

Mohd Iskandar Dzulkarnain
Mohd Iskandar Dzulkarnain
A
A
A

ALOR SETAR - Bina Darulaman Berhad (BDB) mengumumkan pelantikan Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli sebagai pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu berkuat kuasa 18 Julai 2022.

Beliau mula menyertai BDB pada tahun 2014 sebagai Ketua Perancangan Korporat dan Pengurusan Risiko Perusahaan Kumpulan dengan memainkan peranan utama dalam mengetuai dan menyelaras strategi perniagaan syarikat.

Mohd Iskandar Dzulkarnain juga bertanggungjawab memantau dan menilai risiko untuk peluang perniagaan baharu terutamanya dalam pelaburan, pembangunan hartanah serta perniagaan berkaitan.

"Beliau kemudiannya dilantik memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi pada tahun 2018 dan seterusnya diberi kepercayaan untuk mengetuai semua anak syarikat BDB dari segi tadbir urus operasi serta memberikan tumpuan kepada pelaksanaan strategi pemulihan Syarikat.

"Seterusnya pada Oktober 2020, beliau telah dilantik untuk menjawat jawatan Naib Presiden Eksekutif I merangkap Ketua Pegawai Korporat," kata BDB dalam satu kenyataan pada petang Isnin.

Jelas BDB lagi, sebelum menyertai syarikat itu, Mohd Iskandar pernah berkhidmat dengan syarikat-syarikat termasuklah Kumpulan Khazanah Nasional Berhad, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan Sapuracrest Petroleum Berhad.

"Beliau mempunyai pengalaman merangkumi bidang pengurusan risiko strategik dalam melibatkan projek seperti Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Kuantan Port Expansion serta Projek Khas Penstrukturan Semula Pengurusan Air," kata BDB.