Selepas Covid-19, penyakit berjangkit lain runsingkan rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KETIKA ini masyarakat semakin 'runsing' memikirkan ancaman pelbagai penyakit berjangkit yang boleh membahayakan ahli keluarga dan diri sendiri.

Setelah menempuhi pandemik Covid-19 yang sehingga ke hari ini belum dilihat akan berakhir, masyarakat diancam pula dengan empat lagi penyakit berjangkit lain iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), cacar monyet, influenza (ILI) dan wabak Murbug.

Ancaman penyakit-penyakit ini sedikit sebanyak menambah tekanan terutama kepada golongan ibu bapa dari segi perbelanjaan rawatan ketika dihimpit kos sara hidup yang semakin meningkat selain kekangan masa untuk penjagaan.

Berdasarkan tinjauan Sinar Harian pada Isnin, situasi ini diakui amat membimbangkan terutama kepada golongan berpendapatan rendah (B40) ekoran terpaksa memikirkan sumber kewangan tambahan bagi menampung keperluan kos pemeriksaan, rawatan dan vaksin kepada ahli keluarga yang dijangkiti.

Ada yang mengakui terpaksa memperuntukkan sehingga RM900 bagi menampung kos pemeriksaan dan pembelian ubat-ubatan kepada tiga ahli keluarganya yang tidak memiliki perlindungan insurans kesihatan.

Dalam pada itu menurut pengamal perubatan awam, Dr Eratha Krishnan Gobinadan, kebelakangan ini individu yang hadir ke klinik adalah mereka yang dijangkiti influenza dan Covid-19.

Pihaknya mengesan sekurang-kurangnya enam pesakit hadir ke klinik kerana dijangkiti influenza, manakala lima individu lain disebabkan Covid-19.

Namun di sebalik kebimbangan mengenai jangkitan penyakit berjangkit itu, masalah lain yang perlu diberi perhatian adalah isu kekurangan ubat-ubatan untuk merawat pesakit yang dijangkiti influenza.

Dr Eratha mengakui pihaknya sukar mendapatkan stok ubat berkaitan dan terpaksa merujuk pesakit ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut selain membekalkan pesakit dengan ubat batuk, selesema dan demam sahaja.

Oleh yang demikian, perkara ini perlu dilihat secara meluas dan bukan sahaja tertumpu kepada mengelak daripada terkena jangkitan penyakit berjangkit, malah persiapan industri perubatan negara untuk menangani isu kekurangan ubat-ubatan di negara ini.

Penyakit berjangkit yang disebabkan virus dan bakteria akan memberi implikasi besar kepada negara dan jika ia gagal ditangani segara, maka kos untuk mengawal penyakit juga akan meningkat.