Lembaga Angkasa Malaysia dilancar awal tahun hadapan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Angkasa Malaysia akan dilancarkan sepenuhnya awal tahun hadapan bagi menguatkuasakan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] yang telah diwartakan pada 25 Jan lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, lembaga itu akan membuat peraturan berkaitan dengan akta yang telah diluluskan bagi mengawal selia dan membangunkan industri angkasa negara bersesuaian dengan perjanjian antarabangsa.

"Kita akan menubuhkan Lembaga Angkasa secara interim bulan depan dan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, dengan ahli-ahli daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.

"Lembaga ini bertanggungjawab untuk menasihati kerajaan mengenai perkara berhubung persiapan pelaksanaan dan pentadbiran akta. Ini termasuk memantau dan menilai penggubalan draf peraturan serta menyediakan garis panduan dan arahan bersesuaian sebelum dikuatkuasakan pada awal tahun 2023," katanya semasa sidang media selepas majlis pembukaan 'International Geoscience and Remote Sensing Symposium (IGARSS) 2022' di Kuala Lumpur Convention Centre pada Isnin.

Menurut Dr Adham, Malaysia merupakan antara negara ASEAN terawal yang mempunyai lembaga angkasanya tersendiri iaitu yang kedua selepas Filipina.

Beliau mengatakan bahawa bidang kuasa lembaga itu adalah pada ruang yang bermula dari ketinggian 100 kilometer (km) dari aras laut sehingga ke infiniti.

"Buat masa ini, pihak syarikat dan industri adalah dinasihat supaya mendaftarkan satelit atau sebarang objek angkasa yang telah dilancarkan melalui MOSTI.

"Setelah akta berkuat kuasa, semua objek angkasa yang telah dilancarkan sebelum ini adalah tertakluk di bawah Akta 834 dan hendaklah didaftarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh akta berkuat kuasa," katanya.

Dr Adham juga mengatakan bahawa dengan adanya peraturan dan perlembagaan yang jelas mengenai akta angkasa bakal membolehkan negara untuk menjemput mana-mana pengusaha yang ingin melancarkan objek angkasa dalam negara.

"Jika pada bulan lepas kita melancarkan Satelit MEASAT-3d di French Guiana, Amerika Selatan maka selepas ini kita boleh membuat pelancaran objek angkasa dari dalam negara pula.

"Malaysia adalah sesuai bagi tapak pelancaran objek angkasa disebabkan terletak berhampiran garisan Khatulistiwa yang mana pelancaran objek ke angkasa adalah lebih dekat dan juga menjimatkan,” katanya. - Bernama.