47 mangsa rugi RM2.6 juta ditipu Datuk Seri

Annuar Amri
Annuar Amri
A
A
A

ALOR SETAR - 47 mangsa di Kedah membuat laporan polis sejak tahun 2017 berhubung penipuan sebuah skim pelaburan didalangi seorang individu bergelar Datuk Seri membabitkan anggaran kerugian sebanyak RM2.6 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Kedah, Superitendan Annuar Amri Abd Muluf berkata, pada tahun 2019 sahaja, sebanyak 18 laporan polis diterima pada bulan Mac sehingga kini membabitkan kerugian sebanyak RM1.03 juta.

Menurutnya, mangsa-mangsa terdiri daripada mereka yang bekerja dari pelbagai bidang membabitkan pekerjaan kerajaan dan swasta dan juga pesara berumur di antara 25 hingga 76 tahun.

"Skim ini didalangi oleh seorang individu bergelar Datuk Seri. Beliau telah menawarkan skim pelaburan ini sejak tahun 2016 dengan menjanjikan pulangan sebanyak 8 peratus setiap bulan kepada individu yang berminat.

"Pulangan yang tinggi ini telah menarik perhatian pihak pelabur dan terdapat pelabur yang sanggup melabur sebanyak RM230,000 tanpa mendapat sebarang pulangan," katanya.

Annuar Amri berkata, polis telah membuka satu kertas siasatan berkenaan dengan penipuan pelaburan ini dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti yang tidak dikawal selia di bawah Bank Negara Malaysia.

"Mereka juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim yang ditawarkan. Orang ramai juga dinasihati untuk merujuk kepada Investor Alert dan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),"katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, syarikat-syarikat yang melanggar peraturan ini boleh diambil tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukum penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya.

"Orang ramai dinasihatkan tidak berurusan, tidak mendedahkan maklumat kewangan peribadi atau melibatkan diri atau terbabit dengan mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah," katanya.