Pembangkang cadang beri subsidi kepada penternak babi

Pembangkang DUN Perak mencadangkan kerajaan negeri memberikan subsidi kepada penternak babi berikutan harga daging tersebut kian meningkat. - Gambar hiasan
Pembangkang DUN Perak mencadangkan kerajaan negeri memberikan subsidi kepada penternak babi berikutan harga daging tersebut kian meningkat. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mencadangkan kerajaan negeri memberikan subsidi kepada penternak babi berikutan harga daging tersebut kian meningkat.

Chong Zhemin (DAP-Keranji) berkata, sehingga kini terdapat enam kali kenaikan harga dalam tempoh enam bulan bagi daging tersebut.

Menurutnya, sebelum ini harga bagi 100 kilogram (kg) daging babi adalah RM700 tetapi kini meningkat kepada RM1,200 dalam tempoh enam bulan.

"Penternak babi ini pun susah juga, dalam masa enam bulan harga naik enam kali. Jadi kenapa mereka ini tidak dibantu?

"Saya cadangkan bagi setiap kg daging diberikan subsidi untuk membantu penternak," katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Soalan Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kelima DUN Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Isnin.

Isu pemberian subsidi dan bantuan kepada penternak babi turut dibangkitkan Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinjir).

Sementara itu, menjawab kepada soalan dikemukakan, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakarian menjelaskan setakat ini tiada sebarang rungutan diterima daripada penternak babi mengenai kenaikan harga tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak mempunyai rancangan untuk menyediakan sebarang pakej bantuan kepada penternak haiwan tersebut.

"Daging khinzir bukanlah makanan keperluan keseluruhan rakyat.

Setakat ini kadar sara diri pengeluaran (SSL) bagi daging babi di negeri ini ialah 284 peratus iaitu melebihi keperluan.

"Ia berbeza dengan daging ayam.

Sebab itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengambil tindakan mengawal harga ayam dan memberikan subsidi," katanya.

Menjawab soalan lisan dikemukakan Zhemin mengenai usaha kerajaan negeri untuk membantu penternak-penternak mengurangkan kos, Razman menjelaskan, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM500,000 di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Perak Sejahtera untuk sektor ternakan melalui bantuan kepada penternak ruminan dan ayam kampung yang memenuhi syarat dan merupakan pengusaha secara kecil-kecilan.

Jelasnya, pakej tersebut merangkumi bantuan daripada sudut penyediaan kursus dan pemberian peralatan secara percuma kepada peserta.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersama MAFI telah melaksanakan pelbagai bantuan dan inisiatif khususnya dalam sektor ternakan untuk jangka masa panjang dan pendek.

Jelasnya, antara bantuan diberikan kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) adalah menyediakan peruntukan bagi penanaman rumput di kawasan padang ragut dengan penyediaan RM300 kepada setiap penternak secara sekali bayar.

Beliau berkata, kerajaan juga meneruskan program Skim Rezeki Ternak yang bertujuan membantu penternak kecil meningkatkan hasil pendapatan mereka.