17 pengunjung pusat hiburan ditahan kes dadah

Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sea Park di sini pada Ahad.
Pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sea Park di sini pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 17 pengunjung sebuah pusat hiburan di Sea Park di sini telah ditahan kerana terlibat pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam serbuan pada jam 12.30 tengah malam mendapati seramai 76 pengunjung sedang berhibur di premis tersebut.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mendapati 17 individu terlibat dengan pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya turut merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 42.0 gram dan ketamin seberat 11.5 gram yang dianggarkan bernilai RM3,720.

"Kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Dalam serbuan berasingan, Mohamad Fakhrudin berkata, seorang wanita warga asing yang juga pekerja di sebuah pusat hiburan di Taman Megah telah ditahan dalam serbuan pada jam 11.20 malam, Sabtu.

"Dalam serbuan tersebut, seramai enam wanita tempatan dan 15 pelanggan telah diperiksa dan didapati mereka tidak melakukan kesalahan," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut telah menjual minuman keras.

"Seorang lelaki yang juga penjaga kaunter gagal mengemukakan lesen hiburan dan lesen menjual minuman keras bagi tahun ini.

"Kita telah menahan lelaki itu serta merampas sebanyak 12 botol minuman keras, empat peralatan audio, tujuh keping bil dan wang tunai berjumlah RM1,170," ujarnya.

Mohamad Fakhrudin berkata, dalam serbuan terakhir, seorang lelaki tempatan yang juga penjaga kaunter pusat hiburan di sini telah ditahan pada hari sama.

"Lelaki itu juga gagal mengemukakan lesen hiburan dan lesen menjual minuman keras pada tahun ini. Kita telah merampas sebanyak lima botol minuman keras pelbagai jenama, satu keping resit jualan dan wang tunai berjumlah RM525," katanya.

Mohamad Fakhrudin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab dan akan menjalankan tindakan tegas terhadap premis hiburan yang melanggari undang-undang.