'Tegur' peniaga Pantai Puteri letak alatan niaga bahu jalan

Khemah niaga yang ditinggalkan peniaga di bahu jalan Pantai Puteri.
Khemah niaga yang ditinggalkan peniaga di bahu jalan Pantai Puteri.
A
A
A

MELAKA - Tindakan segelintir peniaga dan penjaja yang meninggalkan peralatan niaga seperti besi khemah di Pantai Puteri di sini, telah mencacatkan pemandangan dan berisiko berlaku kemalangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, dianggarkan seramai 120 individu berniaga di kawasan itu dan sepatutnya mereka tidak meninggalkan sebarang peralatan niaga di bahu jalan sepanjang 2.5 kilometer.

Menurutnya, lebih membimbangkan pernah berlaku kemalangan membabitkan penunggang motosikal terlanggar peralatan niaga yang ditinggalkan di bahu jalan.

"Keadaan itu sekali gus tidak bertetapan dengan pengisytiharan Pantai Puteri sebagai lokasi pantai pelancongan utama negeri ini.

"Lagipun ia termaktub dalam peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak membenarkan peniaga atau peniaga meninggalkan barang mereka di bahu jalan selepas niaga," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program pendengaran Awam, Sejahterakan Bandarayaku #PantaiKundor Dihatiku di Kompleks JAPERUN Pantai Kundor di sini, pada Sabtu.

Ketua Ahli Majlis MBMB, Ab Razak Abu (empat,kiri) menyerahkan cenderahati kepada Tuminah (dua,kiri) selepas tamat program.
Ketua Ahli Majlis MBMB, Ab Razak Abu (empat,kiri) menyerahkan cenderahati kepada Tuminah (dua,kiri) selepas tamat program.

Jelasnya, perbuatan itu akan memcemarkan imej pantai tersebut sebagai lokasi pelancongan terutama menerima pengunjung ramai pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad yang dianggarkan melebih 5,000 sehari.

Katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan memberi peringatan melalui notis yang dikeluarkan dan berharap peniaga serta penjaja akur dengan peraturan yang telah ditetapkan PBT.

"Kita tidak menghalang warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor untuk berniaga lebih-lebih lagi dalam kegawatan ekonomi.

"Sekiranya semua peniaga bertanggungjawab sekurang-kurangnya dapat memperbanyakkan pakir letak kenderaan yang adakalanya menjadi tempat letak barang niaga," katanya.