Ringgit dijangka terus susut berbanding dolar AS minggu depan

Ringgit diunjurkan meneruskan aliran penyusutannya berbanding dolar AS pada minggu depan. - Foto 123RF
Ringgit diunjurkan meneruskan aliran penyusutannya berbanding dolar AS pada minggu depan. - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT diunjurkan meneruskan aliran penyusutannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu depan kerana mata wang AS itu dijangka kekal dominan di dalam persekitaran kebimbangan inflasi yang semakin meningkat.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, kemelesetan terus menguasai pasaran secara global, tumpuan makro akan diberikan pada komponen jangkaan inflasi berdasarkan kepada kaji selidik mengenai keyakinan yang dikeluarkan University of Michigan.

Innes berpendapat kaji selidik itu boleh menentukan pergerakan ringgit dibuka minggu depan.

Data tersebut boleh mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas (bps) jika bacaan inflasi meningkat tinggi dan ia akan memberikan sokongan kepada dolar AS.

"Risiko besar bagi pasaran global ialah sama ada (paip gas asli luar pesisir) bekalan gas Nord Stream 1 ke Eropah disambung semula pada 22 Julai. Jika ia berlaku, risiko akan bertambah baik secara mendadak dan ringgit akan meningkat.

"Tetapi saya rasa ringgit akan didagangkan lemah sehingga kami mendapat pengesahan mengenai aliran gas Nord Stream 1. Jika Rusia menghentikan semua bekalan gas, gelombang kejutan kemelesetan yang didorong oleh Kesatuan Eropah akan menjejaskan seluruh dunia," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, melihat kepada keadaan turun naik, ringgit dijangka diniagakan dalam lingkungan RM4.45-RM4.47.

Innes berkata, pasaran juga berkemungkinan mengalami dagangan berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 27-28 Julai 2022.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah. Paras terendah sejak Mac tahun 2020 berikutan dolar AS yang kukuh dan kebimbangan terhadap kemelesetan selepas AS melaporkan inflasi mencapai paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun bulan lepas.

Harga pengguna AS melonjak sebanyak 9.1 peratus, peningkatan ketara daripada 8.6 peratus pada Mei dengan pasaran kini menjangkakan kenaikan 100 mata asas pada kadar faedah yang seterusnya berkemungkinan mencetuskan kemelesetan tidak lama lagi.

Ringgit juga berada di bawah tekanan oleh data ekonomi suku kedua China yang lemah yang dikeluarkan pada Jumaat (15 Julai).

China mencatat pertumbuhan 0.4 peratus pada suku kedua jauh lebih rendah daripada jangkaan, hasil daripada pelaksanaan langkah-langkah kawalan Covid-19.

Di peringkat tempatan, ringgit susut di paras 4.4480/4505 berbanding dolar AS pada Jumaat berbanding 4.4250/4270 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu bagaimanapun diniagakan mengukuh berbanding mata wang utama pada asas Jumaat hingga Jumaat kecuali bagi dolar Singapura, ia menguncup kepada 3.1688/1710 daripada 3.1528/1547.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2048/20699 daripada 3.2048/20699 sebelumnya, mengukuh berbanding pound British kepada 5.2629/2658 daripada 5.2888/2912 and naik berbanding euro kepada 4.4662/4687 daripada 4.4777/4797 minggu lepas. - Bernama