Semangat Mat Kilau wajar menyatu bangsa, menumbangkan penjarah

Poster filem biografi epik 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan'.
Poster filem biografi epik 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan'.
A
A
A

1.SELEPAS menelaah tulisan Prof Agus beberapa hari lalu, pagi ini dihidangkan pula nukilan Pak Hassan Karim.

Prof Agus membentangkan peri layaknya Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi Perdana Menteri (PM), manakala Pak Hassan pula berbicara panjang lebar bagaimana golongan elit yang menguasai ekonomi dan politik Malaysia menghalang sosok seperti Anwar menjadi PM.

2. Kedua-dua tulisan mempunyai rumusan yang sama iaitu negara ini perlu diselamatkan dan ketika ini keduanya bersetuju hanya Anwar mempunyai kemampuan untuk meletakkan Malaysia di landasan yang tepat.

3. Menurut Prof Agus, Anwar calon terbaik memimpin negara ini kerana beliau berpengalaman, bernyawa dengan denyut nadi rakyat, mempunyai jiwa reformasi, malah diyakini mampu membawa Malaysia ke arah kecemerlangan dan berintegriti sehingga Malaysia kembali mendapat perhatian masyarakat dunia.

4. Pak Hasan pula berlabun betapa kelantangan Anwar melancarkan perang terhadap rasuah sebagai agenda utama perjuangannya, mendedahkan 1MDB sejak 2011, mendesak Pandora Papers dibahas ke Parlimen, dan merungkai pelbagai skandal kewangan lain yang memiskinkan negara serta memperosok tanah air ke tangga tertinggi kobobrokan, kegiatan sebegini amat tidak disukai oleh golongan elit berkuasa kerana mereka terancam.

5. Maka persoalannya, apakah kita sebagai rakyat biasa ingin berada di pihak elit penguasa?

Apakah kita ingin terus membenarkan negara terus dijarah?

Apalah gunanya kita menonton filem Mat Kilau dan menjiwai semangatnya jika kita tidak bersatu hati melawan penjarah dan perasuah.

6. Dalam bahasa yang lebih mudah, kita secara tidak langsung harus menyedari bahawa kualiti kehidupan kita semakin merundum dengan peningkatan kos sara hidup.

Minyak masak mahal ketika kita pengeluar terbesar sawit dunia, bil elektrik terus naik walaupun kita tidak pernah bayar bil letrik kepada pihak lain selain TNB (monopoli), inflasi mempapa-kedanakan kita ditambah pula dengan keputusan meledak OPR kali kedua dalam tempoh tiga bulan.

Adakah negara sudah hilang arah biarpun mempunyai kabinet paling gedempol di dunia?

7. Tidak dinafikan ekonomi kita semakin hancur, hari ini diberitakan kerajaan terpaksa mengeluarkan garis panduan penjimatan perbelanjaan awam seiring mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

Rakyat ikat perut, kerajaan berjimat, namun elit penguasa terus bermewahan dan berburberry.

8. Justeru itu, apakah jurus terbaik untuk negara ini diperbetulkan semula?

Tidaklah keterlaluan jika saya juga katakan hanya Reformasi Total yang dicanang Anwar mampu menggembur 'vibe' Malaysia yang lebih hebat, atau sekurang-kurangnya melegakan perdu nasib rakyat.

9. Imej dan hubungan antarabangsa Anwar amat disegani selaku figura pemimpin dunia akan memberi impak domino membanjirkan negara kita dengan pelaburan luar.

Selama ini mereka (para pelabur dari eropah, timur tengah, timur jauh) menunggu pentadbiran Anwar yang penuh integriti mengambil tempat.

10. Paling menarik ialah Anwar bukan hanya bakal menjadi PM yang mampu mencanak ekonomi negara tetapi mempunyai pakej seorang pemimpin yang sentiasa mengangkat martabat rakyat dalam setiap desakan dan polisi Anwar sentiasa mendahulukan rakyat.

Dalam bait-bait ucapan beliau juga, seringkali usaha menyantuni rakyat menjadi wiridnya.

11. Rakyat pernah bersatu hati menumbangkan kerajaan 60 tahun atas semangat ingin merubah negara, namun agenda perubahan itu tergendala kerana gentarnya mereka untuk membiarkan Anwar menjadi PM.

Kita boleh lakukan sekali lagi dalam PRU15, kita sebagai rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan halatuju negara.

12. Akhir kalam, mohon dijadikan tulisan Prof Agus dan Pak Karim sebagai pedoman santai yang membuka paradigma dan menganjaknya dengan tafsiran jitu.

Semoga kita cukup bernasib baik untuk dikirimkan seorang Perdana Menteri Malaysia bernama Anwar Ibrahim.

13. Di kesempatan ini juga, saya mengucapkan selamat berkongress kepada seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat.

* Edy Noor Reduan ialah aktivis blogger