Shaharon Anuar bukan sekadar pelakon

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

"SAYA tidak berpeluang menembak penjenayah atau menumpaskan pengganas komunis, namun penglibatan saya dalam siri drama Gerak Khas telah berjaya menaikkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” luah Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Shaharon Anuar Abdul Latif.

Menceritakan serba sedikit titik permulaan beliau menceburkan diri dalam siri Gerak Khas, ia bermula pada tahun 1998.

“Pada ketika itu, penerbit, Datuk Yusof Haslam mahu membuat drama bersiri seperti Hawaii Five-0 yang mana anggota polis tidak memakai uniform.

“Saya sebagai penasihat teknikal telah memberi pandangan agar drama itu perlu ada watak pegawai polis memakai uniform dan detektif yang tidak memakai uniform, maka terhasilnya drama bersiri Gerak Khas,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mula terlibat dalam dunia lakonan bermula pada tahun 1989.
Mula terlibat dalam dunia lakonan bermula pada tahun 1989.

Menurut beliau, melalui siri drama Gerak Khas yang tayangannya bermula pada 1999 hingga kini telah mendapat ‘rating’ tontonan yang tinggi dan tercatat dalam Malaysia Book of Record (MBR) sebagai penerbitan siri televisyen terpanjang di Malaysia.

“Ramai pegawai atau anggota muda yang menyertai PDRM memaklumkan minat mereka terhadap polis bermula dengan menonton Gerak Khas,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam siri Gerak Khas juga banyak mesej kebaikan dipaparkan kepada penonton.

“Kebenaran mengatasi kejahatan dan nobody is above the law, itu mesej yang hendak kita tunjuk dalam siri kepolisan itu,” katanya.

Pertama kali beliau menceburi dunia seni lakonan apabila diberi watak utama dalam iklan Toyota Land Cruiser – Jungle Out There pada 1989.

“Saya kemudian berlakon sebagai detektif dalam filem Pemburu Bayang terbitan Skop Production Sdn Bhd pada 1992,” ujarnya.

Shaharon Anuar berkata, gandingan beliau bersama Yusof Haslam amat baik dalam merencanakan setiap konsep penerbitan siri kepolisan itu.

Mempunyai minat terhadap sukan berbasikal.
Mempunyai minat terhadap sukan berbasikal.

“Sebelum Gerak Khas, beberapa siri diterbitkan antaranya Detik Metropolitan (Siri Jenayah), Roda-Roda Kotaraya, Roda-Roda Kuala Lumpur (Siri Polis Trafik),” katanya.

Pembahagian masa di set penggambaran dan tugasan harian

Menurut Shaharon Anuar, pihak produksi telah menyusun jadual penggambaran di mana mereka mengumpul semua babak atau adegan yang hanya melibatkan dirinya.

“Penglibatan saya sebagai pelakon pembantu dalam siri Gerak Khas tidak banyak. Dalam satu episod mungkin ada dua atau tiga babak sahaja.

“Pihak produksi akan mengumpulkan 15 atau 20 babak untuk satu hari penggambaran. Penggambaran pula dibuat pada hujung minggu bermula jam 9 pagi dan tamat jam 12 tengah malam atau 2 pagi,” jelas beliau.

Katanya, lakonan watak sebagai pegawai polis tidak membebankan.

“Saya anggap biasa sahaja sebagaimana tugasan harian, di set penggambaran saya kena biasakan diri dengan kamera,” ujarnya.

Tanggungjawab sebagai penasihat teknikal

Shaharon Anuar berkata, beliau telah mendapat kebenaran daripada PDRM untuk berlakon.

Shaharon Anuar menerima pelbagai pingat dan darjah kebesaran.
Shaharon Anuar menerima pelbagai pingat dan darjah kebesaran.

“Kebenaran ini bersyarat iaitu dibolehkan berlakon di luar waktu tugas dan tidak membawakan watak yang mencemar imej PDRM.

“Saya berlakon selepas waktu pejabat atau pada hujung minggu dan hari kelepasan am,” katanya.

Penglibatan Shaharon Anuar di lokasi penggambaran agak berbeza kerana beliau bukan sahaja membawakan watak sebagai pelakon sahaja tetapi juga sebagai penasihat teknikal kepada keseluruhan penerbitan.

“Saya perlu membaca semua skrip, meneliti jalan cerita dalam memastikan segalanya teratur. Ia berbeza dengan pelakon lain yang hanya fokus kepada watak sendiri sahaja,” jelasnya.

Shaharon Anuar memberitahu, beliau senang bekerjasama dengan seluruh pasukan produksi drama Gerak Khas.

“Selain itu, pelakon seperti Datuk AC Mizal, A Galak, Erra Fazira, Abby Abadi, Deen Maidin, Farid Amirul dan Norman Hakim turut memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan drama itu,” katanya.

Jelas beliau, kenangan manis apabila siri drama itu yang ditayangkan di televisyen mendapat sambutan baik, pihak produksi menerbitkan pula filem Gerak Khas The Movie (2001).

“Saya turut menyertai tayangan perdana di beberapa negeri, sambutan penonton sangat luar biasa. Saya yang hanya pelakon pembantu turut diserbu peminat, ia satu kenangan manis yang tidak dilupakan,” katanya.

Pengalaman menjadi DJ radio

Shaharon Anuar juga pernah menjadi penyampai radio (DJ) dan penerbit bersama program Polis dan Anda yang disiarkan setiap Sabtu jam 3 petang hingga 4 petang menerusi saluran Radio Satu 98.4 MHz RTM Angkasapuri pada 1992 hingga 2003.

“Program ini berjaya meraih Juara Anugerah Sri Angkasa bagi kategori Majalah Radio Terbaik/Dokumentari Radio Terbaik 1997, 1999 dan 2001,” katanya.

Pernah menjadi penyampai radio dan penerbit bersama program Polis dan Anda.
Pernah menjadi penyampai radio dan penerbit bersama program Polis dan Anda.

Op Subuh tangani Al-Maunah

Ramai yang tidak mengetahui Shaharon Anuar juga mempunyai peranan penting sebagai pasukan runding (Negotiation Team) dalam Op Subuh iaitu operasi menangani kumpulan yang dikenali sebagai Al-Maunah di Sauk, Kuala Kangsar, Perak pada tahun 2000.

Kumpulan itu telah menceroboh dan melarikan sejumlah senjata api di dua buah kem tentera di Gerik, Perak.

Kumpulan tersebut kemudian telah berkubu di Bukit Jenalik, Sauk.

Shaharon Anuar berkata, beliau terkejut apabila menerima arahan daripada Ketua Polis Negara sebagai perantara dan menentukan butiran dalam usaha berunding dengan Al-Maunah.

“Saya tiada sebarang rujukan kerana krisis sebegitu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Namun, saya menenangkan diri, buat solat hajat memohon ALLAH SWT menguatkan semangat saya untuk menangani situasi itu,” katanya.

Beliau telah menemui dan berbincang bersama dua wanita dan tiga kanak-kanak yang juga isteri dan anak ahli kumpulan tersebut di sebuah rumah di Kuala Kangsar, Perak pada jam 5 petang, 5 Julai 2000.

“Dua wanita dan tiga kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Sekolah Kebangsaan Bukit Jenalik pada jam 2 pagi, 6 Julai 2000,” katanya.

Shaharon Anuar yang ketika itu berpangkat Asisten Superintendan bersama pasukan jururunding terdiri daripada enam pegawai yang diketuai oleh Senior Asisten Komisioner II Abdul Hadi Mahmud.

“Pasukan itu berusaha memujuk melalui pembesar suara di sekolah tersebut yang menghala ke Bukit Jenalik.

“Kita memujuk dengan cara keagamaan, emosi, logik serta rasional sehingga jam 3 pagi,” katanya.

Beliau berkata, susulan daripada usaha tersebut, seramai dua ahli kumpulan Al-Maunah telah menyerah diri pada jam 6.30 pagi pada hari sama.

“Pada jam 8 pagi, kita sekali lagi melaksanakan proses memujuk di lokasi sama, kemudian pada jam 12 tengah hari lebih ramai ahli kumpulan itu telah menyerah diri sehingga yang terakhir jam 4.05 petang.

“Kesemua 28 orang ahli kumpulan Al-Maunah termasuk pemimpin mereka keluar menyerah diri, maka selesailah Op Subuh tanpa pertumpahan darah,” ujarnya.

Shaharon Anuar memberitahu, beliau bertanggungjawab merekodkan dan menyusun kronologi lengkap sepanjang kejadian dalam operasi itu.

“Kronologi itu telah memudahkan pihak pegawai penyiasat dan pihak pendakwaan memahami senario kes sehingga kesemua penjenayah berjaya disabitkan kesalahan.

Tanggungjawab sebagai abang sulung bantu keluarga

Shaharon Anuar dilahirkan di Taiping Perak pada 1 Ogos 1962 itu berasal dari keluarga pesawah, telah menamatkan pelajaran di Sekolah Kebangsaan Matang Road, sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh Perak.

“Saya kemudian menyambung pelajaran tingkatan enam di Institut Harapan, Taiping, Perak dengan mendapat Sijil Tinggi Persekolahan (STP),” ujarnya.

Shaharon Anuar telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti, namun beliau terpaksa membatalkan hasrat tersebut kerana mahu membantu keluarga.

“Saya sebagai anak sulung daripada empat beradik pernah melakukan pelbagai pekerjaan antaranya buruh am ladang kelapa sawit di Air Putih, Taiping; buruh kontrak di perumahan Taman Greenwood, Gombak; pengawal keselamatan di sekitar ibu kota.

Shaharon Anuar berkata, beliau kemudian mendapat tawaran kekosongan jawatan Inspektor Percubaan.

“Saya telah melapor diri di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 4 November 1984 dan menjalani latihan asas selama enam bulan,” katanya.

Shaharon Anuar telah berkhidmat dalam pasukan PDRM hampir 38 tahun di beberapa negeri dengan pelbagai jawatan dan perancangan beliau selepas bersara pada 1 Ogos ini adalah melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta bidang lakonan jika ada peluang.

“Setiap yang bermula pasti akan berakhir, namun kepada anggota dan pegawai polis yang masih berkhidmat, pejuangan harus diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” tegas beliau.