'Kenyataan Wan Saiful bagai gendang kosong yang dipalu...' - Johan Jaaffar

Gambar dari kiri: Johan Jaaffar, Wan Saiful
Gambar dari kiri: Johan Jaaffar, Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Tan Sri Johan Jaaffar berkata, kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung 'sumbangan' beliau selaku pengerusi perbadanan itu selama empat tahun tidak lebih daripada gendang kosong yang dipalu.

"Kenyataan itu juga menampakkan keangkuhan beliau yang tidak bertempat.

"Beliau dilantik sebagai Pengerusi PTPTN sebaik sahaja kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.

"Salah satu tindakan yang dilakukan oleh menteri yang bertanggungjawab pada ketika itu adalah menamatkan perkhidmatan sebahagian besar ahli Lembaga Pengarah PTPTN, termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

"Saya berbangga bekerja dengan mereka khususnya Dr Shamsul, yang walaupun merupakan lantikan politik, tetapi menampakkan sikap profesionalisme yang tinggi dan komitmen yang luar biasa," kata Johan dalam satu kenyataan pada malam Jumaat.

Menurut Johan, beliau sendiri dikekalkan sebagai anggota lembaga pengarah tetapi membuat keputusan untuk meletakkan jawatan setelah hanya sekali menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Wan Saiful.

"Saya berpendapat bahawa beliau tidak memahami budaya PTPTN dan lebih buruk lagi, tidak menghargai sumbangan anggota-anggota lembaga PTPTN sebelum itu.

"Beliau terlupa bahawa prestasi paling cemerlang bagi PTPTN adalah pada tahun-tahun sebelum beliau menjadi pengerusi," ujar Johan.

Pada Khamis, Wan Saiful mengesahkan tidak lagi menjawat jawatan Pengerusi PTPTN selepas kontraknya tamat pada 17 Jun lepas.

Beliau bagaimanapun berkata, berbangga dengan pencapaian dan usaha yang dilaksanakan di PTPTN ketika menjawat jawatan itu terutamanya berkaitan penyelesaian jangka panjang dan hutang anak muda dengan menggalakkan penabungan.

Jelas Johan lagi, pasukan petugas PTPTN dengan bimbingan ahli lembaga pengarahnya telah memberikan perhatian pada semua perkara yang didakwa oleh Wan Saiful sebagai hasil kerjanya.

Katanya, ini termasuklah penekanan pada tabungan dan langkah-langkah proaktif untuk mendapatkan kembali hutang dari pemimjam.

Malah kata Johan, PTPTN mencatatkan jumlah pungutan hutang tertinggi dalam sejarah penubuhannya pada tahun 2017 apabila institusi itu berjaya memungut sejumlah RM3.8 bilion.

"Saya kesal dengan kenyataan beliau bahawa pegawai atasan PTPTN yang terdiri dari “mereka yang lama berkhidmat” kononnya “tidak membawa budaya kerja yang baharu atau disiplin organisasi baharu."

"Saya menganggap kenyataan ini dan beberapa kenyataan lain terhadap petugas PTPTN sebagai satu penghinaan pada mereka. Andaian itu sama sekali silap dan tidak bertanggungjawab.

"Saya dapat memahami morale yang rendah di PTPTN sewaktu beliau menjadi pengerusi," tambah Johan.

Johan juga kesal dengan kenyataan Wan Saiful bahawa PTPTN telah 'dipolitikkan' oleh individu tertentu.

"Pada pandangan saya, PTPTN tidak pernah dipolitikkan sedemikian rupa oleh mana-mana pengerusi sebelum ini seperti yang beliau lakukan dalam masa empat tahun beliau di situ.

"Dalam banyak hal, beliau sendiri menggunakan PTPTN tidak lebih sebagai wahana atau alat mempromosikan diri dan agenda politiknya," tegas Johan.