Jangan biarkan 'wartawan jadian' ambil alih peranan

Mohammad ketika Majlis Penghargaan Media bersama Ketua Setiausaha K-KOMM dan Universiti Kebangsaan Malayasia - Graduate School of Business (UKM-GSB) di Bangi pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

A
A
A

BANGI - Golongan wartawan profesional diseru agar tidak terus membiarkan ‘wartawan jadian’ mengambil alih peranan mereka dalam menyampaikan berita yang terkini dan sahih.

Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, sebaliknya golongan itu harus memainkan peranan lebih jitu dalam menyampaikan maklumat yang benar bagi menangani isu berita palsu.

Beliau berkata, ia adalah selaras dengan ikrar wartawan dalam Deklarasi Melaka sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2022 pada 29 Mei lalu.

"Wartawan kini berhadapan dengan cabaran daripada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu.

"Penggunaan media sosial yang meluas dan tanpa sempadan memberi kesan besar kepada masyarakat, apatah lagi jika maklumat yang disampaikan tidak tepat atau tidak secara menyeluruh.

"Wartawan dan media dalam negara membangun seperti Malaysia memainkan peranan penting sebagai mata dan hati rakyat yang juga bertindak sebagai semak dan imbang bagi kerajaan, namun dalam dunia tanpa sempadan kini, muncul ramai ‘wartawan jadian’ yang mencemar profesion kewartawanan dengan menyebarkan cerita hingga mengelirukan masyarakat umum," katanya.

Mohammad (depan, tiga dari kiri) ketika Majlis Penghargaan Media bersama Ketua Setiausaha K-KOMM dan Universiti Kebangsaan Malayasia - Graduate School of Business (UKM-GSB) di Bangi pada Jumaat. - Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penghargaan Media Bersama KSU K-KOMM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)- Graduate School of Business (GSB) di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai Inisiatif Malaysia Digital, Mohammad berkata, ia memberi petanda kerajaan serius dalam memajukan sektor ekonomi digital, sekali gus meletakkan Malaysia ke hadapan dalam persaingan sejagat terutama dalam transisi ke fasa endemik.

"Media memainkan peranan penting sebagai medium penyampaian berita dan informasi yang berkesan khususnya dalam membantu pembangunan negara.

"Malaysia Digital merupakan inisiatif strategik nasional oleh kerajaan untuk menggalakkan dan menarik syarikat, bakat dan pelaburan serta membolehkan perniagaan dan rakyat memainkan peranan penting dalam ekonomi digital dunia," jelasnya.