Penduduk minta kerajaan campur tangan isu tanah

Penduduk mengadakan perhimpunan aman ketika wakil MHO menghantar memorandum kepada KKTP di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.
Penduduk mengadakan perhimpunan aman ketika wakil MHO menghantar memorandum kepada KKTP di Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Lebih 40 penduduk dari Kampung Sinompuru Sungai Simpang, Sandakan, merayu supaya kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka apabila diminta keluar dari tanah kampung yang didiaminya setelah sebuah syarikat memiliki tanah berkenaan.

Penduduk mendakwa, mereka telah mendiami kampung tersebut sejak hampir 40 tahun lalu dan permohonan untuk memiliki geran tanah sudah dibuat beberapa kali sebelum mereka dimaklumkan bahawa tanah seluas hampir 175 hektar sudah dimiliki sebuah syarikat perladangan.

Susulan kejadian itu, penduduk telah beberapa kali cuba diminta keluar dari tanah berkenaan sejak awal tahun ini dan kali terakhir pada Jun lalu apabila sebanyak empat rumah dirobohkan selepas pihak syarikat berkenaan mendapat perintah daripada mahkamah.

Wakil penduduk, Suen Balinting, 63, memaklumkan bahawa mereka telah memohon untuk mendapatkan tanah berkenaan iaitu pada tahun 1988.

"Selepas itu kami diminta mengisi borang lagi (untuk mendapatkan geran tanah) dan kali terakhir pada 2017 tetapi baru-baru ini kami tidak diberi apa-apa sebarang geran malah dimaklumkan tanah itu sudah dibeli sebuah syarikat.

"Sekarang kami diberi tempoh selama tiga bulan iaitu September depan untuk mengosongkan tanah berkenaan namun kami tidak ada tempat untuk dituju kerana sudah lama menetap di situ selain turut bercucuk tanam di tanah yang kami diami," katanya kepada pemberita ketika mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Wisma Innoprise, di sini, pada Khamis.

Suen berharap kehadiran mereka di Wisma Innoprise itu mendapat perhatian daripada pihak kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan masalah penduduk berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Yulius Kasu, 70, berkata, pihaknya berharap mereka diberi penempatan sama ada diberi ihsan separuh daripada tanah berkenaan atau penempatan baharu yang berdekatan dengan kawasan berkenaan.

"Kami bersedia diberi satu kawasan baharu di situ juga supaya kami ada tempat berteduh. Saya sudah generasi kedua menetap di kampung itu dan bapa saya yang meneroka tanah ini.

"Kami ada urus untuk permohonan geran tanah tetapi pada 2017 dibatalkan permohonan geran berkenaan," katanya.

Alfin Baduli, 36, antara penduduk yang rumahnya telah dirobohkan pada Jun lalu dan ketika kejadian dia serta keluarga tiada di rumah.

"Ketika itu saya bekerja dan tiada orang di rumah. Saya dimaklumkan bahawa rumah dirobohkan jadi tidak sempat berbuat apa-apa.

Hishamuddin (dua dari kanan) bersama wakil penduduk hadir menyampaikan memorandum kepada Nordin di pekarangan Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.
Hishamuddin (dua dari kanan) bersama wakil penduduk hadir menyampaikan memorandum kepada Nordin di pekarangan Wisma Innoprise, Kota Kinabalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim yang mewakili penduduk bertindak menghantar memorandum bagi isu berkenaan kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) Sabah.

"Hari ini kami menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada wakil kerajaan negeri, Setiausaha Rendah (Operasi) KKTP, Nordin Lossin dan beliau akan panjangkan permintaan ini kepada Menteri KKTP, Datuk Seri Masidi Manjun untuk diadakan rundingan.

"Kami harap proses pengusiran penduduk ditangguh dahulu dan minta campur tangan daripada kerajaan, panggil syarikat berkenaan untuk duduk semeja bersama kerajaan dan wakil penduduk untuk berbincang perkara ini.

"Ini termasuk bagaimana kos pemindahan dan kos hidup di tempat baharu selain diberi penempatan baharu kepada mereka jika diusir daripada tanah berkenaan," katanya.