Negeri Sembilan rekod 15,225 kes influenza

Negeri Sembilan merekodkan 15,225 kes penyakit seperti influenza (ILI) sehingga minggu epid ke-27 yang berakhir 9 Julai lalu. - Gambar hiasan
Negeri Sembilan merekodkan 15,225 kes penyakit seperti influenza (ILI) sehingga minggu epid ke-27 yang berakhir 9 Julai lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan merekodkan 15,225 kes penyakit seperti influenza (ILI) sehingga minggu epid ke-27 yang berakhir 9 Julai lalu.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, kumulatif kes pada tersebut ialah 1,762 kes, iaitu penurunan enam peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Daerah Seremban mencatatkan jumlah kes paling tinggi iaitu 4,923, diikuti Tampin (3,877 ) dan Jempol (2,255).

"Selain itu Jelebu (2,050), Kuala Pilah (973), Port Dickson (824) dan Rembau (323)," katanya dalam kenyataan kepada media pada Khamis.

Menurutnya, kumulatif wabak ILI di Negeri Sembilan pada tahun ini ialah sembilan wabak, namun tiada yang aktif.

Jelas beliau, tiada penutupan sekolah atau tadika serta kematian direkodkan disebabkan ILI atau influenza dilaporkan.

"Influenza tidak termasuk di dalam senarai penyakit yang wajib dibuat notifikasi dan telah lama ada di negara ini.

"Survelan ILI yang dikumpul pada setiap minggu adalah untuk melihat kadar konsultasi kes ILI di klinik-klinik kesihatan," katanya.

Sementara itu katanya, jangkitan akan menyebabkan gejala seperti demam, selsema, sakit tekak, batuk, sakit kepala, sakit badan, sukar bernafas atau cirit-birit dan sakit perut.

Veerapan berkata, jangkitan mungkin boleh menyebabakan gejala yang teruk pada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak atau warga emas.

"Bagi individu yang bergejala, elakkan untuk pergi ke tempat-tempat awam.

"Vaksin influenza juga boleh diambil pada setiap tahun dan boleh didapati di fasiliti swasta," katanya.