Rakyat Malaysia mahu penjelasan lanjut

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KENYATAAN dikeluarkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada Selasa mengenai aset dua anak syarikatnya di Azerbaijan yang dirampas waris Kesultanan Sulu menimbulkan pelbagai persoalan.

Petronas memaklumkan kesemua aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus di negara republik itu telah dilupuskan.

Namun, Petronas tidak pula menyatakan tarikh pelupusan aset berkenaan, sebaliknya menjelaskan hasil daripada pelupusan itu telah dipulangkan dengan sewajarnya.

Apakah dimaksudkan dengan ‘dipulangkan dengan sewajarnya’? Itulah yang perlu dijelaskan Petronas agar rakyat lebih memahami situasi sebenar dan kenapa aset itu dilupuskan serta nilainya.

Petronas mengesahkan menerima perintah rampasan pada Isnin lalu, yang bermakna notis ‘saisie-arret’ itu diserahkan kepada syarikat yang tidak lagi mempunyai sebarang aset di Azerbaijan.

Dalam kenyataan sama, Petronas menganggap tindakan rampasan itu sebagai tidak berasas. Mungkin kerana melihat waris Kesultanan Sulu merampas sesuatu yang sudah tidak lagi wujud.

Ia menggambarkan seolah-olah perbuatan waris Kesultanan Sulu adalah sia-sia meskipun menghantar notis rampasan secara rasmi kepada Petronas. Ia mengelirukan.

Banyak persoalan bermain di fikiran rakyat Malaysia yang bimbang bukan hanya Petronas yang menjadi sasaran.

Ini kerana Malaysia masih belum berjaya membatalkan keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris pada Mac lalu yang mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Kesultanan Sulu.

Malaysia tidak membayar wang pemisah sejak 2013 dan melanggar Perjanjian 1878 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam, Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Rakyat khuatir rampasan aset Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion) itu hanyalah permulaan.

Waris Kesultanan Sulu boleh bertindak lebih jauh merampas aset Malaysia di 167 negara kerana Malaysia terikat dengan perjanjian Konvensyen New York – pengiktirafan keputusan timbang tara asing.

Mana-mana aset Malaysia di negara berkenaan boleh dirampas. Satu lagi persoalan penting, rakyat ingin tahu siapa bertanggungjawab menyebabkan aset negara kini terancam.