Fekah pemakanan: Analisis kes bebola daging

Gambar sekadar hiasan.
Gambar sekadar hiasan.
A
A
A

MENCARI, memilih dan makan sesuatu yang halal lagi baik merupakan suatu kewajipan bagi setiap individu Muslim seperti yang telah diperintahkan oleh ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 168.

Namun kadangkala umat Islam menghadapi masalah dalam melaksanakannya disebabkan wujud elemen ketidaktentuan dalam faktor halal, dalam istilah fekah ia disebut sebagai makanan syubhah.

Justeru bagi merungkai masalah ini, ulama Islam telah meletakkan kaedah fekah yang umum bagi makanan, iaitu segala makanan itu hukum asalnya adalah harus dimakan sehingga datang bukti kukuh keharamannya.

Oleh itu selagi mana tidak dapat dibuktikan bahawa sesuatu makanan itu haram, maka hukumnya kekal harus. Ini merupakan kaedah umum yang terpakai secara umum kepada semua makanan sama ada ia dihasilkan oleh individu/syarikat Muslim atau bukan Muslim.

Bagaimanapun, produk makanan berasaskan daging mempunyai kaedah khas yang berbeza, iaitu segala produk daging yang dihasilkan oleh individu/syarikat bukan Muslim adalah haram dimakan sehingga datang bukti keharusannya.

Ini kerana bukan Muslim mempunyai kaedah penyembelihan mereka tersendiri yang tidak selari dengan syariat Islam.

Oleh itu selagi mana pengeluar produk daripada individu/syarikat bukan Islam tidak dapat membuktikan bahawa produk daging yang mereka hasilkan adalah halal, maka hukum produk tersebut adalah tetap haram untuk dimakan oleh Muslim.

Pembuktian dapat diberikan melalui dua cara; pertama melalui dua saksi Muslim yang mempunyai kriteria siqah (boleh dipercayai) dan mereka melihat sendiri kaedah penyembelihan dan penghasilan produk seterusnya memperakui bahawa ia memenuhi semua prosedur dan garis panduan Islam.

Artikel Berkaitan:

Kedua adalah pembuktian melalui pensijilan halal yang dikeluarkan oleh badan pensijilan yang diiktiraf seperti Jakim atau badan pensijilan halal lain yang diiktiraf oleh Jakim.

Dalam kes bebola daging Ikea, disebabkan ia adalah syarikat milik bukan Islam dan kebanyakan produknya diimport daripada negara asal yang bukan Islam, hukum asal produk daging tersebut adalah tidak boleh dimakan sehingga dapat dibuktikan kehalalannya.

Berdasarkan penelitian terhadap portal rasmi Halal Malaysia Jakim, didapati bahawa produk bebola daging tersebut bukan dihasilkan oleh syarikat Ikea sendiri, tetapi pembuatannya diserahkan kepada sebuah syarikat kontrak yang berpangkalan di Subang Jaya Malaysia, iaitu Macfood Service Sdn Bhd yang mengeluarkan produk di bawah jenama Ikea.

Syarikat ini merupakan pengeluar kontrak bagi produk berasaskan daging dan protin seperti ayam, lembu dan ikan di Malaysia.

Selain Ikea, pelanggan syarikat ini turut terdiri daripada syarikat lain seperti Mcdonalds, al-Barakath, Wendy’s, Giant, Subway, Burger King, Uncle jack, Tealive, KFC, Papa John’s, Secret Recipe, dan beberapa syarikat lain.

Penelitian juga mendapati bahawa syarikat ini mempunyai 440 produk yang telah mendapat pensijilan Halal Jakim dan ia termasuk produk bebola daging Ikea.

Maka berdasarkan bukti tersebut, hukum memakan produk bebola daging Ikea adalah halal.

Meskipun terdapat keraguan daripada poster yang menunjukkan bahan produk daging tersebut mengandungi daging khinzir, namun syarikat berkenaan telah menjelaskan bahawa ia merupakan poster asal daripada syarikat Induk di Sweeden di mana resipi asalnya mengandungi bahan yang diharamkan oleh umat Islam.

Maka keraguan tersebut terbatal berdasarkan kewujudan bukti halal yang lebih kuat, iaitu sijil halal yang diiktiraf.

Justeru, penyebaran maklumat yang salah terhadap syarikat tersebut perlulah dihentikan kerana ia merupakan penganiayaan terhadap pihak lain dan sikap tersebut bukan daripada akhlak Islam.

Nabi bersabda: “Barang siapa yang menganiayai saudaranya, sama ada terhadap maruahnya atau perkara lain, maka hendaklah dia menyelesaikannya pada hari ini sebelum tiba hari yang tidak bermanfaat Dinar mahupun Dirham. Sekiranya dia mempunyai amalan soleh, akan diambil daripadanya dengan kadar penganiayaan yang telah dilakukan lalu diberikan kepada orang yang dianiayainya, jika tidak mempunyai amal soleh, akan diberikan kepadanya kejahatan daripada orang yang dianiaya itu (riwayat al-Bukhari)

* Penulis ialah Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia