Mara perhati aset luar negara, elak jadi sasaran dirampas

Azizah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Outlet Canggih Go di Kapayan, Penampang.
Azizah ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Outlet Canggih Go di Kapayan, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memastikan pegawai atau peguamnya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan aset di luar negara dijadikan sasaran waris kesultanan Sulu.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Azizah Mohd Dun mengakui bahawa Mara sendiri mempunyai aset di luar negara selain aset di bawah Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc).

Menurutnya, pihak Mara sentiasa memantau perkembangan itu memandangkan Mara turut memiliki beberapa aset di luar negara.

"Ini perkara yang baru kita dapat tahu (rampasan aset Petronas oleh waris kesultanan Sulu), kita akan memastikan pegawai kita atau wakil di luar negara menjaga aset. Kita akan rujuk peguam untuk kita lihat perkembangan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Outlet Canggih Go di Kapayan di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan aset Mara di luar negara turut menjadi sasaran rampasan wakil waris kesultanan Sulu selepas tindakan mereka merampas aset milik dua anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang dianggarkan bernilai RM8.87 bilion di Azerbaijan.

Rampasan dilakukan peguam yang mewakili waris kesultanan Sulu pada Isnin dan tindakan itu difahamkan sebahagian daripada usaha perundangan dilakukan mereka yang sebelum ini membuat tuntutan bernilai RM62.59 bilion daripada Malaysia sebagai pampasan berikutan proses timbang tara.

Petronas dalam kenyataan malam Selasa mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. seperti yang dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu, menerima notis 'Saisie-arret' pada Isnin.