MDYP tak kompromi isu pencemaran

Mohd Hafiz (kiri) sewaktu Program Colour Fun Walk 2019 di Dataran Gemilang Yong Peng.
Mohd Hafiz (kiri) sewaktu Program Colour Fun Walk 2019 di Dataran Gemilang Yong Peng.
A
A
A

BATU PAHAT - Individu atau pemilik syarikat dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Yong Peng (MDYP) diingatkan agar tidak melakukan aktiviti sehingga menyebabkan pencemaran yang akan menjejaskan kesihatan dan keselesaan penduduk.

Yang Dipertuanya, Mohd Hafiz Aliman berkata, MDYP juga tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya kepada mereka yang dikesan melakukan kesalahan ini.

“Mereka yang berniat untuk melakukannya haruslah menghentikannya dan amaran ini dibuat susulan terdapat aduan pencemaran bau busuk yang berpunca daripada beberapa kawasan pertanian di sekitar Yong Peng.

“Saya percaya bau busuk terbabit dipercayai beberapa petani dan pekebun yang menggunakan baja najis haiwan yang tidak diproses terlebih dahulu selain baja terbabit tidak mempunyai kelulusan agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan program Colour Fun Walk 2019 di Dataran Gemilang Yong Peng, kelmarin.

Menurutnya, beliau juga dimaklumkan bau busuk tersebut telah mengakibatkan kira-kira 3,000 penduduk di kawasan pentadbiran MDYP terjejas selain kehadiran lalat yang mengganggu aktiviti seharian penduduk.

Katanya, bau busuk ini mula dikesan semenjak dua minggu lalu dan pihaknya juga sudah menerima aduan daripada orang ramai serta peniaga gerai makanan yang menyebabkan pendapatan mereka menyusut.

“Sehingga Jumaat lalu, kami sudah berjaya mengesan sebuah kebun seluas hampir lima ekar dipercayai menggunakan baja yang tidak diproses oleh pemiliknya dan notis juga sudah diberikan kepada pemilik kebun berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan diambil di bawah Seksyen 8 Akta Pihak Berkuasa Tempatan 1976 kerana melakukan perbuatan kacau ganggu kepada orang awam dan sekiranya selepas ini ada pekebun yang degil, tindakan lebih berat akan dikenakan kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, notis dikeluarkan sebagai pengajaran kepada pekebun lain agar merujuk dengan Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk menggunakan baja yang sesuai.