Galak persaingan penerbangan, rancak kemasukan pelancong

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong ketika sidang media pada Majlis Pelancaran dan Penjenamaan Semula Batik Air dan Pesawat Terbaru Boeing 737-8 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong ketika sidang media pada Majlis Pelancaran dan Penjenamaan Semula Batik Air dan Pesawat Terbaru Boeing 737-8 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kerajaan menggalakkan persaingan dalam industri penerbangan bagi merancakkan kemasukan pelancong ke negara ini sekali gus memulihkan ekonomi Malaysia selepas pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, setiap syarikat penerbangan mempunyai kekuatan masing-masing dalam persaingan.

"Saya rasa masing-masing mempunyai kelebihan tetapi kita kena melihat secara holistik bagaimana ia dapat membantu negara dengan membawa lebih ramai pelancong datang ke sini," katanya.

Mengambil contoh di Timur Tengah, beliau berkata, lebih banyak pesawat ditarik melakukan penerbangan ke bandar-bandar besar negara itu.

"Malaysia mempunyai potensi itu," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penjenamaan semula Batik Air Malaysia dan pelancaran pesawat Boeing B737-8 baharu, di Sepang, pada Isnin.

Bagaimanapun Ka Siong berkata, persaingan itu perlu menepati aspek ekonomi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) serta melepasi garis panduan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"MAVCOM diwujudkan untuk melihat aspek komersial dan kalau mereka boleh bersaing, kenapa tidak," katanya sebagai mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail.

Izham dilapor berkata, pemulihan industri penerbangan di negara ini berisiko diganggu dengan isu lebihan kapasiti dengan tambahan pemberian lesen perkhidmatan udara (ASL) kepada beberapa syarikat penerbangan baharu sebelum ini.

Kata Ka Siong, sebanyak empat syarikat diberi ASL iaitu MAG, AirAsia, Batik Air dan SKS Airways.

Menurutnya, kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan juga telah berkembang dengan menyambungkan penerbangan ke hampir rantau Asia Pasifik.

"Dengan cabaran berterusan dihadapi sektor penerbangan, syarikat penerbangan dan KLIA boleh bersama-sama merancang perkembangan masa hadapan," katanya.

Tambah Ka Siong, masa depan Batik Air dan KLIA saling berkait serta masing-masing melengkapi antara satu sama lain untuk terus maju dan berkembang.

"Kejayaan KLIA sebagai hab serantau yang strategik adalah penting kepada negara kita. Ia menyokong ekonomi negara dengan menghubungkan seluruh dunia," katanya.