X

Kindly register in order to view this article
!

Tak perlu ulang-alik 10km lagi

Ismail, Ishak dan Tumin melihat pelajar baharu yang mendaftar di SMKSM.
A
A

SIMPANG RENGGAM - Pelajar yang tinggal di kawasan Machap, di sini tidak perlu berulang-alik ke sekolah sejauh kira-kira 10km selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Machap (SMKSM) telah mula dibuka untuk pendaftaran pelajar baharu, semalam.

Bapa pelajar, Nasiruddin Juraimi, 40, yang tinggal di Kampung Setia Jaya, di sini, berkata, sebelum ini dua anaknya, Mohamad Danial, 15, dan Nur Hidayu, 14, terpaksa bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Abdul Rahman Andak (SMKDARA) di Simpang Renggam.

"Jarak dari rumah saya ke SMKDARA sebelum ini kira-kira 11km dan lepas adanya SMKSM ini, jaraknya hanya 5km dan masa perjalanan pula hanya lima minit jika melalui jalan alternatif dan bukannya jalan utama.

"Sebelum ini saya risau keselamatan anak saya kerana terpaksa menunggang motosikal untuk pergi ke sekolah dalam jarak yang jauh walaupun melalui jalan alternatif dan bila ada sekolah ini, saya lega sikit kerana dekat dengan rumah," katanya.

Dia ditemui semasa sesi pendaftaran pelajar baharu SMK Seri Machap, di sini, semalam yang turut dihadiri Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu; Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Ishak Mahbob dan Pengetua SMKSM, Tumin Yatman.

Bagi seorang lagi bapa, Yazid Jamhari, 43, berkata, sebelum ini, anaknya, Nurul Nazura, 13, sempat bersekolah hampir tiga bulan di SMKDARA sebelum mengambil keputusan untuk memindahkan anaknya ke SMKSM kerana jarak yang lebih hampir dengan rumahnya di Kampung Bukit Batu, di sini.

"Dahulu di SMKDARA, anak saya pergi menaiki bas dan bila sudah pindah ke SMKSM, saya terpaksa hantar dan ambil ke sekolah setiap hari dan ini mungkin ada bagusnya kerana saya dapat memastikan keselamatan anak saya.

"Sebenarnya, sejak dahulu kami mahukan sekolah di kawasan ini kerana jarak sekolah sebelum ini terlalu jauh dan ada terpaksa keluar awal pagi menunggang motosikal atau menaiki bas melalui jalan utama yang sering dipenuhi kenderaan terutama kenderaan berat," katanya.

Sementara itu, Ishak berkata, sekolah ini telah mula dibina pada 2017 di atas tanah berkeluasan 4.8 hektar dengan kos RM46 juta sebelum siap dibina awal tahun ini dan boleh memuatkan kira-kira 700 pelajar pada satu sesi.

"Pada hari ini (semalam), jumlah pelajar yang mendaftar di sekolah ini adalah seramai 342 orang dan kebanyakan pelajar yang bersekolah di sekolah ini ialah pelajar yang sebelum ini bersekolah di SMKDARA dan SMK Datuk Menteri di Ayer Hitam.

"Pada peringkat awal ini, sekolah ini mempunyai 35 guru dan kakitangan dan dalam masa terdekat ini juga, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Tun Dr Ismail juga akan dibuka selepas sekolah tersebut memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus