Jemaah terkandas: Polis terima 57 laporan, kerugian cecah RM2.31 juta

57 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan merugian mencecah RM2.31 juta. Foto Bernama.
57 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan merugian mencecah RM2.31 juta. Foto Bernama.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima 57 laporan di seluruh negara daripada mangsa penipuan pakej menunaikan ibadah haji melibatkan dua buah agensi pelancongan swasta yang terkandas pada Khamis.

Setiausaha PDRM Bukit Aman, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, nilai kerugian yang dilaporkan oleh bakal jemaah haji yang terkandas berkenaan setakat ini dianggarkan mencecah RM2.31 juta.

"Polis menerima laporan tertinggi di Selangor sebanyak 25 kes, diikuti Kuala Lumpur 23, Pahang (empat), manakala masing-masing satu laporan di Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Johor, dan Terengganu.

"Pahang mencatatkan jumlah kerugian keseluruhan tertinggi mengikut negeri sebanyak RM874,000 diikuti Kuala Lumpur RM766,500 dan Selangor RM620,000," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan sebanyak 17 laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA yang dibuat oleh mangsa dan keluarga mangsa bakal jemaah haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis.

Laporan polis dibuat susulan sekitar 380 bakal jemaah haji yang sepatutnya berlepas ke tanah suci Makkah terkandas di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.