Program JTDLKM Malaysia sasar jualan RM10.5 juta: FAMA

Zainal Abidin (tengah) ketika membuat lawatan ke gerai-gerai jualan pada Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia di Medan Jaya, Marang pada Sabtu. -Foto Bernama
Zainal Abidin (tengah) ketika membuat lawatan ke gerai-gerai jualan pada Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia di Medan Jaya, Marang pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Program Khas Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia (JTDLKM) yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) sejak 1 Jun lepas menyasarkan jualan sebanyak RM10.5 juta hingga akhir tahun ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, ia melibatkan 8,400 usahawan dengan 840 kali penganjuran JTDLKM di seluruh negara.

Beliau berkata, program tersebut memberi ruang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan penjimatan lima hingga 10 peratus berbanding harga pasaran bagi produk terpilih.

"Sejak 1 Jun hingga 3 Julai, sebanyak 267 program telah dilaksanakan di seluruh negara dengan nilai jualan terkumpul RM3.1 juta.

"Melalui penganjuran sepanjang tempoh itu, sebanyak RM316,000 penjimatan telah dinikmati oleh 150,000 pengunjung," katanya kepada pemberita selepas meninjau jualan di Taman Medan Jaya di Rusila dekat sini pada Sabtu.

Menurut Zainal Abidin sepanjang tempoh itu juga, JTDLKM telah mencatatkan kuantiti jualan keseluruhan berjumlah 368 tan metrik barangan termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan 52,600 ekor ayam.

Di Terengganu, JTDLKM telah dianjurkan di 22 lokasi melibatkan 359 usahawan dengan nilai jualan RM560,000 dan antara barangan yang mendapat sambutan ialah ayam, ikan kembung, telur ayam, sotong, udang dan sayur-sayuran.

Beliau berkata program itu juga dapat memendekkan rantaian pemasaran agromakanan bagi memberi harga yang terbaik kepada pengguna selaras saranan perdana menteri untuk meneruskan konsep jihad memerangi orang tengah.

"Program ini berjaya mencapai matlamatnya kerana semua usahawan yang terlibat adalah pengeluar hasil pertanian itu sendiri," katanya.

Program khas JTDLKM itu adalah kerjasama lima agensi di bawah MAFI iaitu Fama, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan dan Persatuan Nelayan Kebangsaan.

Selain itu, Zainal Abidin berkata, MAFI melalui Fama turut mempromosikan Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) yang akan diadakan pada 4 hingga 14 Ogos depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

Beliau berkata tema penganjuran MAHA 2022, iaitu 'Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan', bertepatan dengan cabaran yang sedang dihadapi negara dan global ketika ini.

"Pihak MAFI juga menyasarkan hasil jualan melebihi RM250 juta dengan kehadiran 100,000 pengunjung setiap hari.

"FAMA terlibat secara langsung dalam penganjuran MAHA 2022 di dalam beberapa kluster iaitu Empayar Makanan yang akan menyajikan makanan Keluarga Malaysia, Castle of Fruit pula akan mempromosikan buah-buahan daripada Keluarga Artocarpus seperti cempedak, nangka, nangchem dan sukun serta kluster Agrotrade, Food Truck Fiesta," katanya.

Beliau berkata, ia memberi peluang kepada hampir 174 usahawan untuk menyertai ruang perniagaan yang disediakan oleh FAMA sempena MAHA 2022. - Bernama