Pekerja ladang dipijak gajah maut ketika terima rawatan

Laporan Sinar Harian mengenai pekerja ladang berusia 50-an cedera selepas kakinya dipijak seekor gajah liar pada Selasa.
Laporan Sinar Harian mengenai pekerja ladang berusia 50-an cedera selepas kakinya dipijak seekor gajah liar pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pekerja ladang yang dilaporkan cedera di bahagian kaki akibat dipijak seekor gajah liar pada Selasa telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, Pahang pada pagi Jumaat.

Melalui kenyataan dibuat Pengurus Besar Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF), Zamakhshari Muhammad, pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu dan mengambil inisiatif menghulurkan bantuan sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban ahli keluarga mendiang.

“MPOGCF amat bersimpati dan ingin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga pekerja ladang kelapa sawit yang dimaklumkan telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh, Pahang pagi ini.

“Mendiang dilaporkan dipijak gajah liar semasa sedang bertugas di Ladang Semantan, Mentakab dan mengalami kecederaan serius pada bahagian badan serta patah pergelangan kaki kiri pada Selasa, 5 Julai 2022,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi yang melibatkan mangsa iaitu seorang lelaki lingkungan 50-an.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mendapati ladang kelapa sawit yang merupakan tempat mendiang bertugas terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.

Jelasnya, menurut rekod pihak Perhilitan, terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang telah dikenal pasti berada di hutan simpan berkenaan.

Dalam masa sama, beliau menasihati pekerja-pekerja di ladang sawit supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian jika bertembung atau berhadapan dengan gajah liar berkeliaran di kawasan ladang dan kebun sawit.

“Pekerja-pekerja ladang juga diminta menjauhkan diri, jika terserempak dengan hidupan liar tersebut dan terus menghubungi Perhilitan Semenanjung Malaysia di talian bebas tol 1-800-88-5151.

“Walaupun gajah bukan haiwan yang ganas tetapi mamalia itu boleh menjadi agresif jika sedang kelaparan atau merasakan keselamatan dirinya terancam.

“Justeru, sebarang tindakan bersifat provokasi bagi mengusir gajah perlu dielakkan, terutamanya kerana hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716,” jelasnya.

Sebagai peneraju inisiatif pemuliharaan biodiversiti industri sawit negara, Zamakhshari berkata, MPOGCF memandang serius terhadap kejadian seumpama itu dan akan terus memberi sokongan penuh bagi usaha-usaha mengurangkan Konflik Manusia-Gajah dan langkah mitigasi yang bersesuaian dengan menggalakkan kewujudan atau keharmonian bersama terutamanya dalam industri sawit Malaysia.

Jelasnya, MPOGCF telah memulakan dan sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif pemuliharaan gajah bagi mengurangkan Konflik Manusia-Gajah di kawasan perladangan sawit.

“Ini termasuk penubuhan Borneo Elephant Sanctuary (BES) di Sabah, pelaksanaan projek ‘Living Together with Elephants’ bersama TDM Plantation di Terengganu, projek ‘Elephant Grass Planting’ di Sabah serta projek Koridor Gajah di Kelantan.

“MPOGCF juga telah mendapat kelulusan dan dalam proses untuk menubuhkan Johor Elephant Sanctuary (JES) di Johor,” katanya.