Bekalan ayam cukup menjelang Aidiladha

Isu bekalan dan harga ayam tidak lagi timbul menjelang sambutan Aidiladha Ahad ini. Gambar hiasan.
Isu bekalan dan harga ayam tidak lagi timbul menjelang sambutan Aidiladha Ahad ini. Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu bekalan dan harga ayam tidak lagi timbul menjelang sambutan Aidiladha Ahad ini apabila rata-rata peniaga di Semenanjung mematuhi harga siling ditetapkan kerajaan dan pengguna tiada masalah mendapatkan bahan mentah itu.

Semalam, Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, semakan yang dibuat pasukan penguat kuasa mengesahkan sememangnya ayam kini dijual pada harga siling, malah terdapat penjual yang meletakkan harga kurang daripada RM9 sekilogram, jauh lebih rendah daripada harga siling.

Harga siling runcit ayam standard yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Julai ialah RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia, harga ayam di ladang ditetapkan pada RM6 sekilogram manakala harga ayam di pihak pemborong pada RM8.10 sekilogram.

Lebih menarik apabila kawasan Parlimen Jasin di MELAKA mengadakan program Jualan Kasih Aidiladha Keluarga Malaysia Parlimen Jasin yang memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan bekalan ayam yang dijual pada harga RM10 seekor.

Program yang turut disertai Pertubuhan Peladang itu menawarkan harga istimewa ayam segar iaitu RM7 sekilogram, lebih murah berbanding harga siling RM9.40 sekilogram.

Seorang pengunjung, Rafeah Ahmad, 71, dari Merlimau berkata, harga ayam yang lebih murah daripada pasaran itu membantunya membuat persediaan untuk menyambut Aidiladha.

Di PERAK, tinjauan di Pasar Ayam Ipoh mendapati rata-rata meja jualan penuh dengan ayam bersaiz standard iaitu kira-kira sekilogram hingga dua kilogram.

Seorang peniaga ayam, Zaini Shaari, 52, berkata, bekalan ayam kini mudah diperoleh dan kebanyakan pelanggan gemar membeli pada saat akhir menjelang musim perayaan.

Di PERLIS, seorang pesara kerajaan, Normawati Jamaluddin, 61, berkata, beliau datang awal ke Pasar Sena untuk membeli enam ekor ayam bagi persiapan menyambut Aidiladha.

"Saya harap perkara ini (tindakan kerajaan) diteruskan bagi memastikan tiada ‘tangan ghaib’ yang menangguk di air keruh menaikkan harga barang sesuka hati mereka,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan kerana melaksanakan pelbagai kaedah bagi memastikan harga bahan mentah di negara ini terkawal dan bekalan mencukupi.

Di PAHANG, tinjauan di Pasar Besar Kuantan mendapati isu bekalan ayam tidak timbul selepas rata-rata pembekal kembali menghantar bekalan seperti yang diminta sejak beberapa minggu lepas.

Peniaga, Ahmad Darwis Sulaiman, 62, kini memperoleh bekalan hingga 200 ekor ayam sehari berbanding 50 hingga 60 ekor ayam sehari ketika isu kekurangan ayam yang menyebabkan kerajaan menghentikan eksport ternakan itu sebagai langkah mengatasinya.

"Harga jualan juga mengikut harga siling ditetapkan iaitu RM9.40 sekilogram. Saya kira isu bekalan kurang menjelang hari raya dan sebagainya telah selesai kerana kami sudah boleh berniaga seperti biasa,” katanya yang sudah 30 tahun berniaga ayam segar.

Pekerja swasta, Fauziana Razak, 33, pula lega kerana dapat membeli ayam segar di pasar walaupun tiba di pasar pada 10.30 pagi, berbanding sebelum ini apabila kebanyakan peniaga kehabisan stok seawal 9 pagi ekoran bekalan terhad.

Di SELANGOR, tinjauan Bernama di sekitar Shah Alam mendapati rata-rata ayam standard dijual mengikut harga siling yang ditetapkan.

Seorang pekerja swasta, Norzamira Che Noh berkata, harga baharu yang ditetapkan lebih berbaloi berbanding sebelum ini kerana perlu membayar caj tambahan untuk memotong ayam.

"Sebelum ini harga RM8.90 tetapi perlu membayar caj tambahan RM2 untuk potong, tetapi bila harga baharu ditetapkan tiada lagi caj tambahan dikenakan. Ia lebih berbaloi,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, tinjauan di Pasar Besar Seremban mendapati ada peniaga yang tidak mempamerkan harga ayam dijual namun setelah diteliti, ayam itu dijual mengikut harga siling ditetapkan. - Bernama