UniSZA bantu atasi kos kenaikan sara hidup pelajar

Fadzli (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Muhammad Nasir selepas menyempurnakan penutup Program Semarak Kecintaan Ummah-UniSZA di UniSZA, di sini pada Khamis.
Fadzli (tiga dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Muhammad Nasir selepas menyempurnakan penutup Program Semarak Kecintaan Ummah-UniSZA di UniSZA, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyediakan menu makanan yang berkualiti di bawah Inisiatif Menu Keluarga Malaysia UniSZA dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan kepada semua pelajarnya.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam berkata, hidangan berkualiti dengan harga murah itu boleh didapati bermula Khamis di 11 buah cafe UniSZA di Kampus Gong Badak, kafe Kampus Besut dan Kampus Perubatan.

Menurut beliau, langkah itu sebagai menyahut seruan dan saranan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk cakna serta mengambil berat berkaitan dengan kenaikan kos sara hidup pelajar di kampus.

“Hal ini bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian di UniSZA berjalan dengan lancar dan harmoni,” katanya selepas merasmikan penutup Program Semarak Kecintaan Ummah-UniSZA di UniSZA, di sini pada Khamis.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniSZA, Datuk Dr Mohd Hafiz Yusoff.

Fadzli berkata, UniSZA juga mencadangkan pengecualian bayaran sewa kafetaria selama enam bulan bermula Julai hingga Disember bagi mengurangkan kos operasi dan bahan mentah sekaligus membolehkan pengusaha kafetaria menyediakan makanan dengan harga yang lebih murah kepada pelajar.

Jelas beliau, pihaknya komited untuk memperkasakan inisiatif Food Bank sedia ada di dalam kampus selain menjaga kebajikan pelajar dengan pelbagai bantuan seperti Bantuan Zakat, Job On Campus, Pinjaman Makan Minum dan pelbagai lagi.

“Bantuan ini dijangka akan mengurangkan bebanan pelajar di UniSZA terutama pelajar dalam kategori B40," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pembimbing Program Semarak Kecintaan Ummah-Kalimah ‘ALLAH’, Profesor Madya Dr Sahar Sa’di Hashim berkata, kempen tersebut berjaya mengumpulkan 50 keping lukisan yang dihasilkan dari kalimah ALLAH SWT.

Fadzli (dua dari kiri) bersama Muhammad Nasir (kiri) dan Mohd Khairuddin (kanan) melihat lukisan yang dihasilkan melalui kalimah ALLAH.
Fadzli (dua dari kiri) bersama Muhammad Nasir (kiri) dan Mohd Khairuddin (kanan) melihat lukisan yang dihasilkan melalui kalimah ALLAH.

Menurut beliau, tulisan kalimah ALLAH SWT itu dihasilkan berlatarbelakang persekitaran yang ada di Kuala Nerus seperti bentuk muka bumi, aktiviti kesenian, warisan, budaya, makanan dan ikonik di daerah berkenaan.

“Program ini merupakan salah satu kempen bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi & Dakwah), Fakulti Sains Sosial Gunaan (FSSG) dan Pusat Kesenian & Warisan UniSZA untuk membangkitkan semarak kecintaan kepada ALLAH dan Rasul.

“Saya harap program sebegini dapat membawa nama UniSZA ke persada dengan mencipta satu produk untuk UniSZA,” katanya.

Fadzli (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan melihat lukisan yang dihasilkan melalui kalimah ALLAH.
Fadzli (empat dari kiri) bersama tetamu jemputan melihat lukisan yang dihasilkan melalui kalimah ALLAH.

Program Semarak Kecintaan Ummah-Kalimah ‘ALLAH’ anjuran mahasiswa Antropologi & Dakwah FSSG dan Pusat Kesenian & Warisan UniSZA turut mendapat kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, Sekolah Menengah Abdul Rahman Limbong dan Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus.