Pandang serius gesaan henti sementara penerokaan

Muhammad Sanusi ketika meninjau Gunung Inas melalui udara yang dikatakan menjadi punca berlakunya kepala air di Kampung Iboi, Mukim Kupang, Baling. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
Muhammad Sanusi ketika meninjau Gunung Inas melalui udara yang dikatakan menjadi punca berlakunya kepala air di Kampung Iboi, Mukim Kupang, Baling. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)
A
A
A

KERAJAAN perlu mengambil serius cadangan pakar geologi dan aktivis alam sekitar supaya penerokaan bukit dan kawasan berisiko seluruh negara dihentikan buat sementara waktu sehingga kajian secara bebas selesai dilakukan oleh golongan profesional.

Jika tidak, tragedi yang berlaku sejak akhir-akhir ini akan terus berulang tanpa ada sebarang penyelesaian konkrit bagi mengatasinya.

Berdasarkan kejadian banjir lumpur dan kepala air yang berlaku Isnin lalu hingga menyebabkan 11 kampung di Baling, Kedah terjejas, ia adalah isyarat bahawa isu tersebut perlu diselesaikan segera.

Tambahan pula apabila melibatkan kehilangan nyawa, isu ini amat memerlukan perhatian serius daripada semua agensi kerajaan yang bertanggungjawab.

Jika disoroti, sebelum ini sudah berlaku beberapa kejadian yang hampir sama di tempat lain dan turut melibatkan kehilangan harta benda, kerosakan alam sekitar dan kematian.

Seperti dinyatakan Pakar Geologi, Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, walaupun Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) telah dilakukan, mungkin ada perkara yang terlepas pandang sekiranya pemantauan berterusan tidak dilakukan oleh agensi terlibat.

Banyak penelitian lain perlu diambil kira antaranya zon penampan, litupan permukaan bumi mencukupi atau tidak serta kesesuaian tumbuhan.

Agensi berkaitan juga perlu pastikan agar litupan bumi itu betul-betul dapat menampan dan memegang air atau memegang tanah.

Sistem saliran sempurna bagi menampung jumlah air apabila hujan juga perlu dilihat memandangkan cuaca sejak akhir-akhir ini berlaku dengan cukup ekstrem.

Selain itu, pandangan Felo Penyelidik Utama di Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Joy Jacqueline Pereira juga tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, adalah amat perlu dibentuk jawatankuasa khas bagi mengkaji dan berkongsi kajian saintifik supaya hasilnya kelak dapat dijadikan panduan dalam menghadapi bencana seperti yang berlaku di Baling dan tempat-tempat lain.

Oleh itu, jika pandangan pakar terus diabaikan dan tiada tindakan menyeluruh untuk mengatasi isu ini dengan segera, kita akan dilihat sebagai negara yang memandang ringan soal penjagaan alam sekitar.

Disebabkan itu, kita akan terus dihukum atas kealpaan diri sendiri.