380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA

SEPANG - Kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sejak pagi Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.
Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).
Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Menurut seorang jemaah yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, agensi pelancongan telah meminta semua jemaah di bawah kendaliannya untuk datang ke KLIA pada Khamis kerana penerbangan dijangka berlepas pada pukul 4.30 petang, namun kemudiannya dimaklumkan telah ditangguh ke pukul 7 malam.