Kes demam denggi meningkat pada ME16, empat kematian dilaporkan

Gambar hiasan. Foto Bernama
Gambar hiasan. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes demam denggi dilaporkan meningkat kepada 2,321 kes pada Minggu Epidemiologi ke-16 (ME16) iaitu bagi tempoh 14 April hingga 20 April lepas berbanding 1,698 kes pada minggu sebelumnya dengan empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME16 adalah sebanyak 50,650 kes berbanding 35,202 kes bagi tempoh sama pada 2023.

"Selain itu, sebanyak 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME16 pula adalah sebanyak 80 lokaliti berbanding 107 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Menurutnya, daripada 80 lokaliti yang dilaporkan, 67 lokaliti di Selangor, tujuh lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, dua lokaliti masing-masing di Perak dan Kedah serta satu lokaliti masing-masing di Pulau Pinang dan Sarawak.

Dr Muhammad Radzi berkata, bagi survelan chikungunya, tiada kes serta wabak penyakit itu dilaporkan pada ME16 dan jumlah kumulatif kes chikungunya hingga kini adalah 23 kes.

Bagi survelan zika pula, katanya, sebanyak 795 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

"Orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan denggi dengan memastikan persekitaran bebas daripada bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan Aedes.

Artikel Berkaitan:

"Lokasi tumpuan awam yang berada berhampiran kediaman seperti premis ibadat, kedai atau kawasan taman rekreasi juga perlu dipastikan bebas daripada tempat pembiakan nyamuk tersebut,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!