Keputusan inkues kes Baby Syifaa 31 Julai ini

Gaithri (kanan) berjumpa dengan ibu bapa Baby Syifaa di luar mahkamah.
Gaithri (kanan) berjumpa dengan ibu bapa Baby Syifaa di luar mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini pada Isnin menetapkan 31 Julai depan untuk keputusan prosiding inkues kes kematian Baby Syifaa atau Nour Rania Asyifaa.

Koroner Datin Surita Budin turut menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh untuk pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan bertulis manakala 9 Julai tarikh bagi hujahan balas.

Sebelum itu saksi ke-28, Nur Asyikin Zakaria, 39, yang merupakan jiran pusat asuhan Baby Syifaa telah dipanggil memberi keterangan.

Mahkamah turut memainkan rakaman audio perbualan antara keluarga Baby Syifaa dengan suri rumah terbabit menerusi pertemuan diadakan mereka pada 29 Ogos 2022.

Wanita berkenaan memberitahu mahkamah yang pertemuan itu berlangsung selama tiga jam di sebuah rumah kelab di daerah ini, namun ia tidak diberitahu kepada suami.

Pegawai Pengendali Inkues, Zahida Zakaria kemudiannya mempersoalkan wanita terbabit kenapa tidak memberitahu suami berhubung pertemuan tersebut.

"Suami saya minta jangan campur urusan kes ini kerana dia kata saya banyak tak pasti daripada pasti.

"Saya setuju dengan suami kerana apa yang saya pasti itu sikit saja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Peguam keluarga Baby Syifaa, Gaithri Thomas turut mempersoalkan perkara sama dan wanita berkenaan menjelaskan yang dia mula bersetuju dengan pandangan suaminya selepas memberi keterangan kepada polis.

Bagaimanapun Nur Asyikin menegaskan yang dia bercerita kepada keluarga Baby Syifaa apa yang dia nampak.

Selain itu, menerusi audio berkenaan, dia turut memberitahu terdapat seorang lelaki tidak dikenali telah datang ke taska pada waktu pagi dan petang berjumpa dengan pengasuh taska.

Katanya lagi, selepas beberapa hari kejadian, dia telah melihat sebuah kereta Proton Saga berwarna merah dipandu pengasuh seolah-olah membuat rondaan di lokasi kejadian.

Suri rumah terbabit yang kini menetap di Johor Bahru telah pun dipanggil pada prosiding Januari lalu, namun gagal untuk hadir sebelum mahkamah mengarahkan notis sapina diserahkan.

Seramai 28 saksi dipanggil memberi keterangan termasuk ibu dan bapa Baby Syifaa sepanjang prosiding inkues bermula 22 September 2022.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!