UMK tandatangan MoU bersama dua universiti Turkiye

Ismail Sabri menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UMK dengan Universiti Karadeniz Technical (KTU) dan Universiti Karabuk (UNIKA) di Turkiye.
Ismail Sabri menyaksikan majlis menandatangani MoU antara UMK dengan Universiti Karadeniz Technical (KTU) dan Universiti Karabuk (UNIKA) di Turkiye.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Karadeniz Technical (KTU) dan Universiti Karabuk (UNIKA) di Turkiye bagi kerjasama penyelidikan dalam pembangunan mobiliti penuntut serta kakitangan.

Naib Canselor UMK, Prof Dr Razli Che Razak berkata, UMK mengambil peluang itu bagi melaksanakan kerjasama dalam aspek penyelidikan, pembangunan program mobiliti pelajar dan staf bagi kedua-dua universiti, perkongsian pintar fasiliti dan maklumat hasil daripada penyelidikan bersama, penganjuran persidangan dan seminar secara bersama.

“KTU adalah sebuah universiti yang memfokuskan kepada teknikal, sains dan teknologi yang ditubuhkan pada tahun 1955 dan antara universiti pertama di Turkiye yang ditubuhkan di luar Istanbul dan Ankara.

“UMK dan KTU akan menumpukan kepada penerokaan teknologi terkini dalam bidang akademik mahupun penyelidikan, seterusnya akan dapat memberi manfaat kepada kedua-dua universiti untuk meningkatkan kepakaran penyelidik daripada kedua-dua universiti,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Majlis menandatangani MoU itu dilakukan oleh Prof Dr Razli dan Rektor UNIKA, Prof Dr Refik Polat serta Rektor KTU, Prof Dr Hamdullah Cuvalci dengan disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Prof Dr Razli, kerjasama UMK dan UNIKA memfokus kepada aktiviti akademik dan penyelidikan termasuklah perkongsian fasiliti serta maklumat hasil daripada penyelidikan antara kedua-dua universiti.

“Perkongsian juga akan dilakukan melalui penganjuran persidangan serta seminar secara bersama.

“Kerjasama ini akan dikembangkan kepada pembangunan program mobiliti pelajar dan staf bagi kedua-dua universiti,” katanya.