Bekas calon bebas PRU14 tak mengaku buat video jelik PM, UMNO

Jufazli (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas empat pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menerusi aplikasi Tiktok dan YouTube, minggu lalu.
Jufazli (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas empat pertuduhan membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menerusi aplikasi Tiktok dan YouTube, minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas calon bebas dewan undangan negeri (DUN) Tanjong Papat, Sabah bagi Pilihan Raya Umum (PRU) ke14, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas empat pertuduhan termasuk membuat komunikasi jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan UMNO menerusi aplikasi Tiktok serta YouTube, minggu lalu.

Penganalisis politik, Jufazli Shi Ahmad, 33, selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Nor Hasniah Ab Razak.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik, telah memuat naik dua video, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan aplikasi Tik Tok atas nama 'King Maker' dan YouTube 'King Maker Politik' pada jam 3 petang, 23 dan 27 Jun lalu.

Ia telah dibaca dan dilihat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada 24 Jun dan 1 Julai lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Bagi dua lagi pertuduhan, dia didakwa gagal memberi capaian kepada data berkomputer yang disimpan dalam telefon bimbit iaitu gagal memberi kata laluan kepada laman profil aplikasi Tik Tok atas nama 'King Maker' dan YouTube 'King Maker' Politik yang diminta oleh pihak polis.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi di sini, pada jam 12.10 tengah hari dan 3 petang, 5 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 242 sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Nadia Mohd Izhar manakala OKS diwakili peguam, Rajsurian Pillai.

Ketika prosiding, Nor Azizah mencadangkan OKS diberi ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan, dengan mengambil kira ia termasuk dalam kes berkepentingan awam.

"Kami juga memohon perintah larangan kepada OKS supaya tidak membuat kenyataan atau komen berkaitan kes ini, sama ada menerusi media sosial atau cetak, sehingga kes selesai," katanya.

Bagaimanapun, Rajsurian merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana tiada pendapatan tetap.

"Dia mempunyai kes yang sama di Mahkamah Sepang dan prosiding ini masih berlangsung sejak dua tahun lalu," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, hakim Nor Hasniah membenarkan OKS diikat jamin sebanyak RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan dia dikehendaki memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan kes bagi kesemua pertuduhan itu.