Alphard hilang dilarikan penyewa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan berhubung kes melibatkan seorang lelaki yang mendakwa kenderaan miliknya yang disewakan menerusi satu aplikasi dalam talian telah hilang pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kertas siasatan telah dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

"Kes ini membabitkan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard model AGH30 bernilai RM361,723.71.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan awal dijalankan mendapati, mangsa mendaftarkan akaun melalui satu aplikasi dalam talian untuk menyewakan kenderaan milik isteri mangsa dengan kadar sewaan RM700 sehari.

"Pada 9 Jun lalu, mangsa telah menerima notifikasi menerusi aplikasi berkenaan bahawa terdapat pelanggan yang berminat menyewa kenderaan tersebut selama sehari mulai 29 hingga 30 Jun 2022.

"Urusan pengambilan dan penghantaran kenderaan kepada pelanggan diuruskan oleh pihak aplikasi berkenaan," katanya.

Menurutnya, pihak tersebut telah menyerahkan kenderaan milik mangsa kepada seorang lelaki tempatan dan urusan serahan dilakukan di Bangsar South Kuala Lumpur pada 29 Jun lalu.

"Namun pada 30 Jun, penyewa kenderaan tersebut didapati gagal memulangkan kereta pada masa dan tarikh yang ditetapkan.

"Pihak aplikasi tersebut memaklumkan mahu mengambil kenderaan tersebut daripada suspek tetapi pihak suspek menegaskan akan memulangkan kereta tersebut terus kepada mangsa dan meminta wakil pihak aplikasi membatalkan penghantaran tersebut," katanya.

Ujar Amihizam, mangsa telah menghubungi suspek dan dimaklumkan bahawa kenderaan tersebut telah diserahkan kepada penyewa lain di Banting.

"Bagaimanapun, mangsa telah gagal menghubungi suspek serta kenderaan tersebut tidak dikembalikan sehingga ke hari ini.

"Pihak aplikasi tersebut telah hadir membuat satu laporan polis bertujuan sebagai covering report (penafian) dan laporan polis tersebut telah diklasifikasi sebagai ROR (Refer To Other Report) kepada aduan dibuat oleh mangsa pada 1 Julai lalu bagi tindakan siasatan selanjutnya," katanya.