Sila log masuk terlebih dahulu.

Pekerja ladang cedera dipijak gajah liar

Pekerja ladang berusia 50-an cedera selepas kakinya dipijak seekor gajah liar pada Selasa. - Foto ihsan orang awam
Pekerja ladang berusia 50-an cedera selepas kakinya dipijak seekor gajah liar pada Selasa. - Foto ihsan orang awam
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja ladang di sini cedera pada bahagian kaki akibat dipijak seekor gajah liar pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusoff memberitahu, mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 50-an itu kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk menerima rawatan.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi dan pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 7.45 malam.

"Mangsa menghubungi penolong pengurus ladang untuk memaklumkan kejadian yang menimpa dirinya.

"Penolong pengurus itu kemudiannya membawa mangsa yang cedera ke hospital.

"Kita telah memaklumkan mengenai kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai dan individu yang bekerja di kawasan berdekatan supaya berwaspada dan berhati-hati.

"Sekiranya ternampak atau terkesan kehadiran haiwan liar itu sila hubungi balai-balai polis yang berdekatan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian dan sedang memantau pergerakan haiwan liar tersebut untuk rancangan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, dua kakitangan jabatan itu telah ke lokasi kejadian selain melawat mangsa di hospital.

"Hasil siasatan, mendapati terdapat sepasang kasut, topi, dan sebotol air mineral mangsa dan juga terdapat kesan tapak gajah liar di lokasi tersebut.

"Jangkaan kumpulan gajah adalah tujuh ekor," tambahnya.