Syor pertandingan buka minda pelajar

Siti Hawa (dua, kanan) menerima plag Malaysia Book Of Records daripada Siti Hajar di majlis tersebut.
Siti Hawa (dua, kanan) menerima plag Malaysia Book Of Records daripada Siti Hajar di majlis tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengalu-alukan sekolah di negeri ini menganjurkan aktiviti mahupun pertandingan yang boleh membuka minda pelajar dalam penguasaan dua subjek utama iaitu matematik dan sains.

Timbalan Pengarahnya, Abdullah Mat berkata, pertandingan tersebut akan memberi ruang kepada pelajar untuk mengasah minda mereka lebih cekap dan pantas dalam menjawab soalan.

“JPN amat berbesar hati kerana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab berjaya menganjurkan pertandingan E-Mathematic ini sekali gus memberi peluang kepada penyertaan daripada pelbagai sekolah dari seluruh negeri.

“Kita galakkan pelajar mencebur dalam aktiviti seperti ini bagi memberi pendedahan kepada mereka untuk kuasai kemahiran menjawab soalan matematik dan juga pelbagai subjek-subjek lain,” katanya kepada media di sini.

Beliau hadir merasmikan Pertandingan International E-Mathematics Genius Open and Largest Participation E-Mathematic Competition For Malaysia Book of Records di SMK Zainab di sini.

Dalam masa yang sama, Pengetua SMK Zainab, Siti Hawa Muhamad turut menerima plag Malaysia Book of Records daripada wakilnya, Siti Hajar Johar untuk mengiktiraf pertandingan tersebut.

Pertandingan tersebut melibatkan penyertaan terbesar iaitu seramai 2,824 orang dan di bahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan juga dewasa meliputi penglibatan universiti luar negara iaitu Thailand dan Bangladesh. Selain itu, ada juga daripada sekolah-sekolah swasta dan sebagainya.

Sementara itu, Siti Hajar berkata, beliau sangat berbangga kerana diberi kepercayaan untuk menganjurkan pertandingan yang julung kali diadakan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia merupakan idea alumni sekolah tersebut dengan gabungan Unit Kurikulum manakala untuk soalan pula dibuat oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai rakan strategik kali ini.

“Untuk kali ini, kita hantar semua 849 orang pelajar kita menyertai pertandingan ini. Kepada mereka yang menang, kita ucapkan tahniah dan kepada yang gagal, cuba lagi masa akan datang, Insya-ALLAH,” katanya.