Discover PKNS 2023 buka tirai di Kota Puteri Sabtu ini

Suhaimi Kasdon (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Discover PKNS 2023 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Seksyen 14, Shah Alam pada Selasa. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
Suhaimi Kasdon (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Discover PKNS 2023 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Seksyen 14, Shah Alam pada Selasa. - Foto Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Discover PKNS 2023 iaitu sebuah karnival berskala kecil akan berlangsung di pusat perbandaran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bermula di Kota Puteri Sabtu ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, Discover PKNS 2023 merupakan karnival melibatkan komuniti setempat dan rakan strategik PKNS.

"Discover PKNS 2023 diadakan sebagai platform untuk mendekati orang ramai di pusat perbandaran PKNS, menerusi pelbagai aktiviti-aktiviti menarik dianjurkan selain mempromosikan produk-produk PKNS.

"Selain itu, ia juga menjadi medium untuk menarik minat bakal pembeli dan mengukuhkan kesedaran orang ramai berkenaan produk-produk perumahan PKNS menerusi promosi projek sedia ada dan bakal dilancarkan," katanya.

Suhaimi ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Discover PKNS 2023 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS di Seksyen 14 di sini pada Selasa.

Discover PKNS 2023 merupakan siri jelajah ke pusat perbandaran PKNS iaitu Kota Puteri, Antara Gapi dan Selangor Cyber Valley dan PKNS juga melancarkan projek kediaman Puteri Ariana di Kota Puteri pada Ahad ini.

Dengan sasaran kehadiran lebih 5,000 pengunjung, pelbagai aktiviti menarik diadakan di kesemua lokasi pilihan seperti aktiviti berbasikal, memancing, pertandingan memasak dan forum perdana.

Info mengenai program turut dikongsi PKNS di media sosialnya termasuk Instagram
Info mengenai program turut dikongsi PKNS di media sosialnya termasuk Instagram

Lebih menarik, persembahan artis popular tanah air turut disajikan kepada pengunjung sempena kempen Discover PKNS 2023 pada kali ini selain sukaneka rakyat, 'food truck' dan Hari Bertemu Pelanggan.

Sementara itu, rakan-rakan strategik PKNS akan turut memeriahkan Discover PKNS 2023 menerusi gerai jualan produk, jualan produk usahawan serta gerai promosi daripada panel bank PKNS.

Suhaimi menambah, lokasi kedua Discover PKNS 2023 pula diadakan di pusat perbandaran Antara Gapi pada 24 dan 25 Jun manakala lokasi ketiga berlangsung di Selangor Cyber Valley pada 29 dan 30 Julai ini.

"Sementara sempena ulang tahun PKNS ke-59, kempen ini akan berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam pada 12 dan 13 Ogos manakala 'mega finale' atau penutup program berlangsung di SACC, Shah Alam pada 28 dan 29 Oktober," katanya.

Menurut Suhaimi, kempen Discover PKNS 2023 ini juga adalah sebahagian daripada pelaksanaan program tahunan bagi PKNS untuk mencapai sasaran jualan RM600 juta dalam tempoh sepanjang tahun ini.

"Pada tahun lalu kita mencapai sasaran jualan kira-kira RM400 juta menerusi kempen yang dilancarkan dan tahun ini kita menyasarkan jualan yang lebih tinggi menerusi lebih banyak kempen di semua pembandaran PKNS," katanya.