Gesa tubuh Taskforce Siasatan Khas kes penderaan Bella

Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) Untuk Bella menggesa penubuhan sebuah pasukan bertindak atau ‘Taskforce’ Siasatan Khas bagi menyiasat beberapa isu berkaitan kes penderaan kanak-kanak down sindrom itu.
Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) Untuk Bella menggesa penubuhan sebuah pasukan bertindak atau ‘Taskforce’ Siasatan Khas bagi menyiasat beberapa isu berkaitan kes penderaan kanak-kanak down sindrom itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Menuntut Keadilan (GMK) Untuk Bella menggesa penubuhan sebuah pasukan bertindak atau ‘Taskforce’ Siasatan Khas bagi menyiasat beberapa isu berkaitan kes penderaan kanak-kanak down sindrom itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, GMK berkata, pasukan tersebut perlu terdiri daripada ahli dan pegawai penyiasat berwibawa dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wakil Badan Kehakiman.

“Ini untuk menyiasat aduan dan dakwaan wujud kegagalan urus tadbir dan kegagalan pematuhan prosedur operasi standart (SOP) oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Badan Kehakiman ketika adik Bella diberi perintah jagaan kepada Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

“Juga dakwaan-dakwaan kekejaman Siti Bainun terhadap bekas penghuni Rumah Bonda serta penubuhan Rumah Bonda yang beroperasi sebagai Rumah Perlindungan tanpa berdaftar dengan JKM,” menurut kenyataan itu.

GMK pada Selasa telah melakukan penyerahan memorandum tuntutan penubuhan Taskforce Siasatan Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin di Putrajaya.

Memorandum penubuhan Taskforce Siasatan Khas itu turut diserahkan kepada JKM, Badan Kehakiman, Siti Bainun dan Rumah Bonda.

Pada masa sama, GMK turut memohon agar keanggotaan pasukan tersebut turut terdiri daripada wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, aktivis, NGO dan institusi pengajian tinggi.

Bagi memastikan ketelusan langkah tersebut, GMK turut menuntut pasukan bertindak itu supaya membentangkan hasil siasatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, GMK juga menuntut Hamzah supaya membuka semula kertas siasatan terhadap laporan polis dibuat oleh remaja yang merupakan bekas penghuni Rumah Bonda.

“Laporan polis pernah dibuat oleh tidak kurang enam bekas penghuni di pusat perlindungan Rumah Bonda, Jalan Kukuban (Kuala Lumpur) sejak Julai 2021 dilihat dan disiasat semua serta diambil tindakan oleh Pegawai Penyiasat yang boleh memberi fokus terhadap kes ini,” ujarnya.

Siti Bainun, 30, kini sedang berhadapan dengan dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.