Jangan dengar pandangan Lynas sahaja

Fuziah beramah mesra bersama ibu dan wanita yang hadir pada Program Sambutan Hari Wanita di Pantai Cherok Paloh di sini, hari ini.
Fuziah beramah mesra bersama ibu dan wanita yang hadir pada Program Sambutan Hari Wanita di Pantai Cherok Paloh di sini, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Keputusan untuk meneruskan operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) perlu diteliti semula oleh kerajaan bagi memberi keadilan kepada industri lain di kawasan perindustrian Gebeng yang telah mengikut segala peraturan yang telah ditetapkan.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, pandangan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Redzuan Yusof seharusnya tidak melihat hanya kepada satu persepektif sahaja namun perlu dilihat dalam ruang lingkup lebih luas daripada industri lain.

“Saya masih ingat lagi 10 tahun lepas apabila pelabur di Gebeng berjumpa dengan Menteri Besar Pahang bercakap tentang kedudukan mereka apabila Lynas hendak dibina...mereka telah menolak Lynas kerana tahu apa kesannya terhadap mereka.

“Di Gebeng, banyak industri antarabangsa yang terkenal dan besar mengikut syarat-syarat ketat dan sangat menjaga dan melaksanakan undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara. Mereka ini sepatutnya harus dijaga dan saya tidak mahu mereka meninggalkan kita.

“Pelaburan ini seharusnya bersifat holistik dan kita sepatutnya kita lebih menarik industri yang lebih kukuh melabur di dalam negara kita dan pihak industri yang besar ini juga tidak mahu melabur di kawasan yang mampu merosakan nama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada Program Sambutan Hari Wanita di Pantai Cherok Paloh di sini, hari ini.

Semalam, kerajaan akan meneruskan operasi kilang Lynas sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing melabur di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ia bagi memastikan pelabur asing melihat Malaysia sebagai satu negara yang mempunyai persekitaraan perniagaan yang mesra.

Artikel Berkaitan:

Fuziah berkata, setiap pelaburan dibuat syarikat asing perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan tidak hanya memikirkan keuntungan diperoleh kerajaan semata-mata.

"Kerajaan sememangnya mengalu-alukan pelaburan oleh syarikat asing, apatah lagi yang bertaraf antarabangsa untuk melabur ke sini. Tapi, perlulah mengikut peruntukan undang-undang Malaysia dan peka dengan perkara yang membabitkan kepentingan rakyat di negara ini.

"Saya percaya, banyak syarikat yang sudah lama beroperasi di kawasan perindustrian Gebeng dan mereka boleh mematuhi undang-undang serta syarat ditetapkan... jadi, kenapa pula Lynas tidak boleh patuh dengan perintah atau arahan dikeluarkan kepada mereka.

"Syarikat multinasional seperti BASF-PETRONAS dan Eastman sebagai contoh, sudah berpuluh tahun di Gebeng dan mereka tidak ada masalah untuk mengikut peraturan yang telah ditetapkan sedangkan Lynas, tampil dengan pelbagai alasan, walaupun arahan jelas sudah dikeluarkan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai moratorium bauksit yang berakhir hari ini, Fuziah berkata, walaupun moratorium tamat namun ia tidak bermakna esok semua pengusaha lombong dapat meneruskan aktiviti melombong sesuka hati mereka.

"Apa yang saya faham ia (aktiviti melombong bauksit) tidak akan berjalan selagi pihak berkenaan (pengusaha lombong) tidak memenuhi kriteria atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS).

"Kita tengoklah nanti selepas sesi pendengaran awam yang dijadualkan 14 April ini, selepas itu baru kita boleh tahu siapa yang berminat untuk meneruskan aktiviti melombong dan mengangkut bauksit," katanya.