Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A
RINGGIT dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan peniaga kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) selama dua hari yang bermula hari ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4135/4160 berbanding dolar AS daripada 4.4120/4145 sewaktu ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berikutan ketiadaan pasaran Amerika Syarikat (AS) disebabkan cuti Hari Kemerdekaan pada 4 Julai, sentimen terhadap ringgit akan menjadi perhatian dalam mesyuarat MPC BNM.

Beliau berkata, jangkaan kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang lebih tinggi dilihat telah membantu mendorong ringgit berbanding mata wang serantau.

"Prestasi ringgit berbanding dolar Singapura (SGD) adalah mengagumkan dengan bergerak pada sekitar RM3.15 bagi setiap SGD pada masa ini selepas hampir mencapai RM3.20 sebelum ini.

"Sekiranya BNM mengekalkan hala tujunya untuk normalisasi dasar monetari, ia sewajarnya memberikan rangsangan kepada ringgit,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, gandingan dolar AS/ringgit hanya mencatatkan perbezaan kecil pada Selasa berikutan ketiadaan ramai peniaga berikutan cuti Hari Kemerdekaan AS.

"Bagaimanapun, kita mungkin melihat ketidakstabilan pasaran yang ketara lewat minggu ini berikutan data pekerjaan bukan ladang ADP yang dikeluarkan pada Rabu dan gaji bukan ladang pada Jumaat.

"Data pekerjaan AS adalah relevan kerana ia memberi petunjuk kepada langkah Rizab Persekutuan (Fed) AS yang seterusnya berhubung dasar monetari,” katanya.

Data terkini menunjukkan pengangguran AS berada pada kadar 3.6 peratus, seiring dengan realiti sebelum pandemik, kata beliau sambil menambah, Fed akan terus berdepan cabaran untuk mengawal tahap inflasi yang tertinggi dalam tempoh 40 tahun lepas.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding dolar Singapura.

Mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3456/3487 berbanding 5.3496/3526 sewaktu ditutup pada Isnin, mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2440/2461 daripada 3.2578/2599 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 4.6046/6072 daripada 4.6070/6096.

Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1599/1620 daripada 3.1596/1618 pada Isnin. - Bernama