Jawatan TPM kukuhkan tadbir urus kerajaan

Gambar kecil: Muhd Shamsuddin
Gambar kecil: Muhd Shamsuddin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada ) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menyifatkan pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri sangat relevan.

Ketuanya, Muhd Shamsuddin Paijan, berkata pelantikan Timbalan Perdana Menteri merupakan satu keputusan yang tepat dan keperluan dalam mentadbir urus serta kepentingan rakyat, ekonomi mahupun negara.

Katanya, dalam suasana negara yang turut dipengaruhi isu semasa dunia ketika ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memerlukan sokongan seorang Timbalan Perdana Menteri untuk mengambil alih sebahagian tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan rakyat kepada kerajaan untuk dilunaskan dengan sempurna.

"Tanpa perlu melakukan rombakan, pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri pasti akan memperkuat dan memperkukuhkan lagi pasukan kabinet yang kini fokus untuk memastikan semua program bagi memulihkan sosioekonomi dan mensejahterakan rakyat menerusi inisiatif pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19, mencapai matlamat.

"Kehadiran seorang Timbalan Perdana Menteri selain menteri daripada Perikatan Nasional (PN) seperti telah dijanjikan akan membantu meningkatkan lagi kecekapan kerajaan pusat dalam menguruskan pelbagai isu serta mendepani siri cabaran baharu yang muncul seperti kenaikan kos barang keperluan, kemerosotan bekalan makanan serta keselamatan khususnya kesihatan global.

"Oleh itu, Armada Johor amat kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang menggesa kerajaan pusat tidak melayan tuntutan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menuntut lantikan Timbalan Perdana Menteri serta menteri daripada PN," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sabtu lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dilaporkan berkata, beliau bertemu Ismail Sabri beberapa hari lalu untuk membincangkan pelantikan dalam Jemaah Menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri yang menurutnya berkait dengan perjanjian PN dengan Perdana Menteri.

Susulan permintaan Muhyiddin itu, Najib dilaporkan membidas Ahli Parlimen Pagoh itu yang menurutnya tersilap keutamaan pada masa rakyat sedang bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Muhd Shamsuddin berkata, Armada Johor hairan dan menyifatkan Najib mengalami ‘post power syndrome’ atau sindrom selepas berkuasa kerana sanggup mengganggu gugat Perdana Menteri daripada UMNO sendiri.

"Armada Johor juga menyangkal kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki supaya memotong elaun Pengerusi MPN itu, sedangkan Tan Sri Muhyiddin tidak mengambil elaun bagi jawatan itu kerana niat dan prioriti perkhidmatan beliau adalah untuk membantu kerajaan mencari jalan mengembalikan kestabilan sosioekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19," katanya.