'Ini bukan masanya tuntut jawatan TPM'

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), menteri dan timbalan menteri.

Menurutnya, desakan itu seharusnya tidak timbul apatah lagi rakyat berada dalam situasi sukar menghadapi kenaikan mendadak harga barang.

"Ini bukan masanya untuk menuntut jawatan TPM atau menambah lagi menteri baharu. Cukuplah jumlah yang ada sekarang dengan rekod jumlah menteri terbesar dalam sejarah Malaysia.

"Ini tidak termasuk pegawai-pegawai tinggi bertaraf menteri termasuk duta khas yang dilantik bagi memenuhi tuntutan pelbagai parti yang membentuk kerajaan campuran ketika ini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Muhyiddin berkata telah membangkitkan perbincangan melibatkan lantikan TPM, menteri dan timbalan menteri dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa hari lalu.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi juga menegaskan desakan itu juga tidak rasional ketika ini dalam keadaan kewangan kerajaan yang semakin menipis.

"Di kala rakyat tengah susah dan gelisah hadapi kenaikan harga barang yang mendadak naik, kantong kerajaan yang menipis, seharusnya tuntutan untuk menambah lagi jawatan menteri tidak harus timbul.

"Malah untuk menzahirkan solidariti bersama rakyat yang sedang kesempitan, elaun-elaun menteri, timbalan menteri, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Duta Khas Bertaraf Menteri wajar dipotong," katanya.