'PM tak perlu layan permintaan Muhyiddin'

Kenyataan Najib dimuat naik di Facebook miliknya.
Kenyataan Najib dimuat naik di Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak perlu melayan permintaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan lantikan baharu menteri dan timbalan menteri dibuat.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Muhyiddin mendesak agar lantikan tersebut dibuat bagi mengelakkan lebih ramai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar parti.

"Saya faham kenapa dia (Muhyiddin) terdesak sehingga tahap ini. (Mahu) dijadikan gula-gula untuk elak lagi ramai pemimpin-pemimpin Bersatu lompat keluar partinya seperti yang sedang berlaku sejak awal tahun ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kerajaan perlu memfokuskan kepada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi daripada memikirkan mengenai pelantikan tersebut.

"Adakah prioriti negara ketika ini untuk lantik Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri baru, pelbagai jawatan baharu serta menubuhkan banyak lagi majlis-majlis dan jawatankuasa?

"Sedangkan PRU semakin dekat? Paling lama pun kurang setahun lagi. Harap kerajaan jangan layan. Fokus pada pemulihan ekonomi dan mengawal inflasi. Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

"Bukan jawatan didahulukan, berlambak majlis-majlis ditubuhkan," katanya.