Prosiding pengesahan lafaz cerai MB Perlis pada 25 Ogos

Azlan Man
Azlan Man
A
A
A

HULU LANGAT - Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Isnin menetapkan 25 Ogos depan untuk perbicaraan pengesahan lafaz cerai Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali.

Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan memberitahu bahawa anak guamnya, tidak hadir kerana mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Mendengar perkara itu, Abdullah Zuhdee berkata, mahkamah tidak dapat mengambil kenyataan lisan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan kenyataan plaintif.

"Kena dengar daripada kedua-dua pihak, jadi prosiding ditangguhkan ke tarikh akan datang,” katanya.

Semasa prosiding, peguam syarie, Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif berkata, pihaknya sudah cuba membuat serahan saman berkenaan namun tidak berjaya selain gagal menghubungi defendan.

Bagaimanapun beliau berkata, serahan saman kepada defendan melalui peguam syarie dibuat pada Isnin selepas pihaknya menerima wakalah pelantikan peguam syarie defendan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Syafiq berkata, prosiding yang ditetapkan Ogos depan akan menentukan sama ada berlaku lafaz talak atau tidak.

"Serahan saman kepada defendan dibuat sejurus permohonan pengesahan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 itu, difailkan bulan lalu," katanya.

Ditanya mengapa prosiding diteruskan di Hulu Langat beliau berkata, kes dibuat mengikut alamat pemastautin anak guamnya.

Sova Ali
Sova Ali

Mengesahkan perkara itu, Atikah berkata, Azlan Man, 64, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong hanya menerima dokumen tersebut melalui pembantu beliau dan maklum berkaitan tarikh kes pada hari ini.

Menurutnya, pihak peguam maklum mengenai perkara itu selepas dilantik sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 1 Julai lalu.

"Hari ini ditetapkan sebutan kali pertama prosiding, untuk plaintif memaklumkan kepada mahkamah mengenai status serahan saman dan bagaimana ia dibuat.

"Pada tarikh berkenaan, dokumen itu tidak berjaya diserahkan dan beliau hanya menerimanya menerusi pembantu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada mahkamah agar prosiding bulan depan, dapat dijalankan secara tertutup.

Ini kerana beliau berkata, mengambil kira status anak guamnya sebagai Menteri Besar dan bimbang sekiranya berlaku salah faham masyarakat, boleh menjejaskan reputasinya.

Namun katanya, hakim Abdullah Zuhdee memberitahu bahawa keputusan mengenai permohonan itu akan dimaklumkan sebelum perbicaraan bermula.