Tumpu tangani kartel eksploitasi bekalan, harga barang

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

SHAH ALAM - Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi diminta untuk memberikan tumpuan terhadap usaha menangani ‘kartel’ yang dipercayai mengeksploitasi dan memanipulasi harga serta bekalan barangan utama keperluan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana peningkatan harga yang berlaku terhadap barangan terbabit dilihat berlaku bukan disebabkan masalah di peringkat permintaan sebaliknya di bahagian penawaran.

“Masa harga siling ayam kerajaan tetapkan pada RM8.90, tiba-tiba bekalan tiada. Apabila harga siling dinaikkan kepada RM9.40, tiba-tiba berlaku lambakan ayam sehingga ada tak habis terjual.

“Ini antara isyarat jelas bahawa inflasi hari ini bukan sangat kerana permintaan luar biasa melebihi daripada penawaran (demand tinggi), sebaliknya berlaku masalah di peringkat penawaran dan bekalan.

“Justeru, fokus kerajaan melalui JK (pasukan) Jihad Inflasi mesti tertumpu juga kepada kartel yang mengeksploitasi dan memanipulasi harga dan bekalan, bukannya menghukum peniaga di hujung rantaian yang turut menjadi mangsa akibat kenaikan harga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Isnin.

Asyraf berkata, isu yang sama juga didapati berlaku terhadap jualan minyak masak peket bersubsidi apabila ia didapati sukar untuk diperolehi di pasaran berbanding minyak masak botol yang sudah tidak diberikan subsidi.

“Apakah wujud sorokan bekalan atau 'kawtim' di belakang dengan pihak-pihak tertentu untuk meraih keuntungan di atas subsidi rakyat.

“Jangan kerana tersilap percaturan dan strategi jihad, rakyat yang susah menjadi mangsa!” tegas beliau.