MCA sedia bekerjasama: Presiden

Ka Siong (tengah) menyempurnakan gimik pecah tanah pembinaan pusat wushu tersebut.
Ka Siong (tengah) menyempurnakan gimik pecah tanah pembinaan pusat wushu tersebut.
A
A
A

IPOH - MCA sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada di dalam blok pembangkang atau kerajaan di dalam isu mengikut konteks Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tiada masalah untuk bekerjasama dalam soal berkaitan kepentingan rakyat seperti dalam isu cadangan memansuhkan hukuman mati mandatori.

Beliau berkata, bagaimanapun MCA tidak terikat dengan sebarang perjanjian dengan mana-mana parti untuk bekerjasama seperti mana Pas dan DAP pada tahun 2008 serta 2013.

"Lebih baik bekerjasama dalam hal-hal bersangkutan dengan kepentingan rakyat daripada sibuk dengan nak berkawan atau tak boleh berkawan.

"Yang pasti, kita tak pernah tandatangan perjanjian dengan mana-mana parti, tak berjabat tangan dengan mana-mana pemimpin atau peluk mana-mana pemimpin," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pusat Wushu Persekutuan Wushu Tarian Singa dan Naga Perak, di Kampung Baharu Buntong, di sini.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Ka Siong berkata, paling penting sebarang kerjasama itu tidak akan mengenepikan semangat perikatan di dalam BN.

Artikel Berkaitan:

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan MCA selepas membentuk kerjasama dengan MIC.

Menurutnya, Pas perlu mengambil pendekatan politik yang fleksibel demi kepentingan bersama dalam suasana Islam yang menerima masyarakat majmuk.

Pada 28 Mac lalu, MIC mengumumkan kerjasama dengan Pas selepas mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi dalam usaha mengukuhkan blok pembangkang.